ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Selasa, 9 September 2014

Mangsa MH 17???

8/9/2014 (Isnin)

Belum sempat aku duduk di kerusi selepas berjumpa dengan Ketua Bahagianku, tiba-tiba aku terdengar kawan sepejabatku berkata kepada Puan Faizah Hashim.  

"Nora tahu tak yang dia kena pergi Sabah?Terdengar soalan itu di telingaku dan aku hanya memandang kepada mereka dan beranggapan mereka hanya bergurau denganku.

"Aaaa betul.  Kak Nora, saya dan Maizatul akan pergi ke DBP Sarawak dan Sabah.  Kita akan buat Audit Personel"  kata Puan Faizah Hashim

."Tapi saya susah nak out-station ni, sebab saya menguruskan anak saya pergi dan balik sekolah" kataku. 

 "Kita pergi pada waktu cuti sekolahlah Kak Nora" jawab Puan Faizah lagi.  

""Saya pun akan hantar anak saya ke rumah neneknya" sambung Puan Faizah.

"Seriau juga ni..kisah MH 370 dan MH 17 masih baru lagi ni" jawabku lagi."

Alahai..kesian anak saya, tinggal tak pergi mana-mana pulak, cuti sekolah ni" sambungku lagi..

"Saya lagi kesian, sebab terpaksa tinggalkan suami" jawab Maizatul Adni yang baru sahaja maendirikan rumah tangga lebih kurang 4 bulan yang dahulu.

"Alah...kalau setakat suami yang tinggal, dia pandai cari makan sendiri,  Paling tidak pun, jika isteri meninggal dia menangis sekejap je..sambil nangis tangannya yang menutup muka dia itu,  dijarang-jarangkan agar dapat melihat jika ada anak dara yang datang menziarah isteri yang meninggal" balasku lagi.

Gelak besar kami semua bila perbualan begitu dibincangkan.Selepas habis bertugas, sepeti biasa aku terus ke Sekolah Agama Al-Hidayah di Taman Impian untuk mengambil anakku Irfan yang bersekolah petang di sekolah itu.  Setelah selesai ia memasukkan semua beg dan baju sekolah kebangsaannya, aku terus memandu menuju ke Taman Cheras Jaya pula untuk mengambil anakku yang sulung, Muhammad  Idzham yang bersekolah petang di sana. Semasa dalam perjalanan ke Cheras Jaya, aku pun berbual dengan anakku Irfan.

"Irfan, kemungkinan besar minggu depan Ibu kena  pergi bertugas di Sarawak dengan Sabah: sambil aku memandang ke wajah anakku Irfan. Lantas Irfan terus menjawab dengan berkata 

"Saya nak ikut Ibu"

."Mana boleh, ibu pergi ke sana kerana bekerja, bukan pergi melancung"  tekanku agar ia tidak meminta yang bermacam-macam lagi.

"Tapi saya nak ikut Ibu, Tak seronoklah kalau ibu tidak ada" katanya lagi. Ia menundukkan mukanya dan meletakkan jarinya di matanya..

"Berapa hari Ibu ke sana?" Saya tidak mahu ibu jadi mangsa MH 17, saya tidak mahu ibu mati.  Siapa nak jaga saya nanti " katanya menahan sebak sambil mukanya masih lagi tunduk dengan kedua-dua tangannya di mukanya..Aku lihat pipi dan bibirnya merah.  Air matanya mula keluar di celah-celah jarinya yang ditekan pada matanya.

"Nanti Irfan doalah Ibu supaya selamat setiap kali selepas Irfan sembahyang, boleh?  kataku sambil memandang lagi mukanya yang masih lagi menekan-nekan jarinya ke arah matanya agar tidak mahu aku melihat ia menangis.  Irfan mengangguk-nganggukkan mukanya.

"Kalau Allah nak ambil nyawa ibu ni, bila-bila masa saja Allah boleh ambil Irfan" kataku sambil memegang tangannya bagi menguatkan semangatnya. Bergetar juga suaraku menahan sebak.   Air mataku juga mengalir keluar membasahi pipiku.

"Tapi, saya tidak mahu apa-apa berlaku pada ibu" katanya lagi.

"Suatu hari nanti, ibu akan mati juga" kataku lagi.

"Tapi masa itu saya dah besar dan boleh jaga diri saya sendiri" katanya lagi,.

"Kita tidak tahu bila Allah nak ambil nyawa kita" kataku lagi.

Sepanjang perjalanan kami, aku lihat wajah Irfan sedih dan dia asyik memandang ke arah luar tingkap keretaku. Dalam hati aku juga berdoa agar Allah memanjangkan usiaku agar aku dapat menjaga anakku sehingga ia dapat berdikari sendiri.  Insyaallah...amin......






Khamis, 2 Januari 2014

Gigi Kacipnya Patah Dua

Cuti sekolah akhir tahun 2013 merupakan masalah yang agak besar padaku, kerana anak-anakku tidak mahu duduk dengan ibuku di Bandar Tun Hussein Onn.  Ini adalah disebabkan anak adikku, tidak langsung memberi ruang untuk mereka menonton televisyen kesukaan mereka.  Anak adikku itu dipanggit Qat sahaja. Setiap hari ia misti menonton cerita-cerita kartun, dan ia akan menjerit jika channel TV ditukar.

Rabu, 2 Oktober 2013

Dadanya Berbunyi lagi...

Sejak akhir-akhir ini, Irfan asyik tidak hadir ke sekolah kerana tidak sihat.  Kejap-kejap dada Irfan berbunyi.  Apabila ibu dengar bunyi di dalam dada Irfan, Ibu rasa amat susah hati.   Walau penat dan sibuk mana sekalipun ibu akan tetap membawa Irfan ke klinik untuk mengambil gas tidak kira siang ataupun malam.  Pernah klinik telah ditutup memandangkan waktu itu sudah pukul 12.00 malam, maka terpaksalah ibu bawa Irfan ke Hospital Kajang.  Doktor telah memberikan gas kepada Irfan tetapi bertanyakan pelbagai soalan punca-punca bagaimana boleh belaku kerana Irfan tidak pernah datang ke hospital tersebut.   

Baru-baru ini ibu sedang menyemak laporan kedatangan ibu  pada bulan Julai 2013.  Tiba-tiba ibu terpandangkan tarikh 24/7/2013 dan 25/7/2013, bos ibu tidak meluluskan ibu keluar pergi ke klinik kerana membawa Irfan mengambil gas semput.  Hairan bin ajaib pula rasanya tindakan bos ibu itu.  Selalunya bos ibu tidak macam itu, Ia seorang yang amat bertimbang rasa,  Adakah dia tersalah tekan butang ataupun dia telah mendengar ceirita ibu yang tidak elok dari seseorang, tidaklah ibu ketahui.  

Lantas ibu pun menyemak dan mengingati semula apa yang telah berlaku pada bulan Julai. Ibu juga menyemak dalam fail gung yu untuk melihat jika ada time slip yang diberikan oleh doktor. Dalam fail gungyu pun tidak ada.  Mungkin ibu tidak minta time slip kerana ibu terus isi butiran terus balik kerana ibu keluar pejabat pun sudah jam 4.20 petang.  Lantas ibu terus mencari nombor telefon Klinik Kita di Cheras Perdana dan memaklumkan ibu perlukan time slip untuk membuktikan kepada bos ibu yang ibu benar-benar ke klinik dan bukan memonteng kerja.  Ibu bukanlah kaki ponteng seperti orang lain yang tidak ada di tempat sampai 1 -2 jam lamanya. Baru ibu ingat, pada tarikh 23/7/2013 memang ibu telah membawa Irfan ke klinik kerana semput.  Kemudian Dr. Salmi Manja  di Klinik Kita, Cheras Perdana, telah menyuruh ibu membawa Irfan sekali lagi mengambil gas pada hari yang sama pada sebelah petang. Memandangkan pada hari itu, hari bekerja terpaksalah ibu mengambil cuti kecemasan. Semasa  Irfan mengambil gas pada waktu petang, sekali lagi doktor memeriksan kondisi Irfan lantas doktor memaklumkan kepada ibu, Irfan perlu dibawa sekali lagi pada sebelah petang keesokan harinya  dan hari berikutnya.  Maka ibu pun merancang untuk pergi kerja dan akan balik awal untuk membawa irfan ke klinik sekali lagi di sebelah petang.

Seingat ibu, pada hari itu ibu bawa Irfan ke pejabat agar mudah untuk ibu membawa ke klinik petang itu. Tepat jam 4.20 petang ibu pun balik awal dengan mengisi butiran keluar di laman e-cuti.  Cepat-cepat ibu memandu menuju ke klinik agar irfan dapat mengambil gas semput seperti yang telah disarankan oleh doktor. Begitu juga pada hari berikutnya.  Memandangkan bos ibu sibuk, mungkin dia baru semak dan meluluskan segala cuti dan keluar masuk stafnya. Tetapi ibu menjadi hairan bila dia tidak meluluskan permohonan keluar awal ibu itu.  Ibu bertekad akan berjumpa dengan bos ibu dan akan bertanya adakah dia tersilap atau sememangnya dia benar-benar bertujuan tidak meluluskan permohonan keluar pejabat ibu itu. 






Nota

Ibu baru sahaja berjumpa dengan bos ibu, dan bertanyakan kenapa beliau tidak meluluskan keluar pejabat ibu pada tarikh tersebut.  Ibu sertakankan bukti-bukti tersebut.  Lantas bos ibu mengatakan ia tidak pernah tidak meluluskan permohonan ibu ke luar pejabat.   Ia beranggapan kemungkinan sistem e-cuti itu ada masalah teknikal.  Ibu terus memberitahunya, ibu akan memaklumkan kepada Bahagian Sistem Maklumat dan akan menyuruh mereka membetulkan semula status tersebut.  Jika tidak dibetulkan sekarang, ibu takut satu hari nanti akan berlaku perkara yang tidak diingini.  Terima kasih Ya Allah, kerana engkau telah mempermudahkan tugasku ini hari ini.   Amin.

Isnin, 18 Februari 2013

Kadet Sekolah

Setiap petang balik dari sekolah, Irfan sering bertanya kepadaku bila hendak membeli pakaian kadet sekolahnya. Aku memberitahunya  akan membelinya pada  hari cuti di hujung minggu, kerana kedai tersebut terletak di Taman Impian Balakong, sahaja. Akhirnya pada hari Sabtu bertarikh 17 Februari 2013, aku telah mengajak anak-anakku keluar. Sibuk anak-anakku bertanya aku hendak pergi ke mana. Aku memaklumkan untuk pergi makan roti canai, kemudian pergi bank dan bermacam-macam lagi urusan yang perlu dibereskan semasa cuti hujung minggu.
 
Setelah selesai kami  bersarapan di sebuah restoran di Lake View, Bandar Tun Hussain Onn, aku terus pulang semula ke Taman Impian menuju ke kedai yang menjual pelbagai uniform. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan baju T-shirt serta seluar  kadet sekolah untuk anakku Irfan. Jurujual tersebut menunjukkan uniform kadet sekolah kepadaku. Semasa membelek-belek seluar kadet itu,  sempat juga aku menjeling  tag harga yang tergantung pada seluar tersebut. Terbeliak jugalah mataku kerana harganya RM44.00 sepasang. T-Shirt pula harganya RM19.90. Tetapi, malangnya tiada  pula saiz T-shirt untuk Irfan kerana saiz yang paling besar cuma 34 sahaja.  Aku hanya membeli seluar, topi kadet serta lencananya yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM62.00.
 
Memandangkan T-shirt kadet adalah satu keperluan, terpaksalah aku pergi mencari di Pekan Sungai Besi kerana aku pernah membeli uniform pengakap untuk anak sulungku Idzham. Selsai sahaja aku membayar harga pakaian tersebut, kami terus menaiki kereta menuju ke pekan Sungai Besi. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan T-shirt untuk kadet sekolah. Alhamdulillah akhirnya ada juga saiz 36 untuk anakku Irfan. Jam menunjukkan pukul 1.30 petang, perutku terasa lapar kerana sarapan tadi hanya roti canai sahaja. Aku mengajak anak-anakku makan di kedai makan di pekan Sungai Besi. Tapi, kedua-duanya mengelengkan kepala.  Sememangnya kedua-dua anakku itu susah untuk diajak makan, berbeza kalau dengan anak-anak orang lain...pernah kawan-kawanku bercerita anak-anak mereka pantang diajak untuk pergi makan....Maka terpaksalah aku pulang ke rumah kerana semuanya telah selesai diuruskan. Nasib baik sempat juga aku telah membeli gulai kari kambing di sebelah kedai pakaian di Taman Impian tadi.
 
Sampai sahaja di rumah, aku terus memasak nasi, kemudian menggoreng telur, dan memanaskan sayur semalam yang aku simpan di peti sejuk.  Semasa pagi itu,  sempat juga aku memanaskan ikan patin masak tempoyak sebelum keluar rumah. Ikan patin tersebut telah diberi oleh seorang rakan sepejabatku yang membelinya di bandar Temerluh. Aku memang suka kalau ikan patin dari Temerluh, kerana ikan patin tersebut dibela di dalam sungai dan bukan di dalam kolam. Sebab itulah daging ikan patin yang dibela di sungai tidak berlemak dan berminyak. Selepas kami makan nasi tengah hari itu, aku menyuruh Irfan memakai semua pakaian kadet yang dibeli tadi. Apabila aku melihat Irfan memakai pakaiat kadet dengan lengkap, aku pun mengambil gambar kenang-kenangan.  Di dalam hatiku berkata "Hmmm...hensem juga anakku Irfan....."




Tambah Gagah Irfan memegang senjata

 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 


Rabu, 6 Februari 2013

IBU! INI SIPUT APA?

Tahun ini Irfan naik darjah 4 dan diletakkan di kelas 4 Gemilang, dan sudah semestinya umur Irfan juga meningkat kepada 10 tahun pada tarikh 31 Januari 2013 nanti. Balik sahaja dari sekolah, Irfan memberitahuku yang dia tidak dilantik menjadi pengawas yang menjadi impiannya selama ini. Seperti biasa, ibu akan memberi kata semangat kepada Irfan dan menyuruhnya belajar bersungguh-sungguh kerana yang paling penting sekali ialah keputusan peperiksaan. Menjadi pengawas ini, perlukan kerja tambahan seperti memantau kawan-kawan yang lain untuk mengikut peraturan yang ditetapkan oleh sekolah katakku lagi
.
Pada 17 Januari 2013 ibu telah pergi ke sekolah Irfan untuk mengambil wang bantuan kerajaan sebanyak RM100.00. Sempat juga ibu berjumpa guru kelas Irfan yang comel orangnya bernama Suriati. Irfan yang duduk di barisan hadapan sebelah kanan sekali di tepi tingkat tersenyum-senyum melihatku datang. Mungkin dia berasa bangga dan seolah-olah ingin memaklumkan kepada kawan-kawannya inilah ibunya. Setelah aku diberi wang tersebut, aku berjalan ke arah pintu dan sempat juga Irran memberi salam kepadaku "Assalamualaikum ibu". Aku memandang sambil tersenyum kepadanya dan menjawab "Waalaikum Salam".

Seperti biasa, setiap petang aku akan mengambil anak-anak disekolah agama. Di suatu petang, setelah anak-anakku masuk ke dalam kereta dan selesai aku memasukkan semua beg sekolah ke dalam kereta, tiba-tiba Irfan berkata, "Ibu, berdosa tak kalau ustazah panggil saya babi". Aku yang dalam keadaan tengah panas dan letih kerana memandu kereta dari pejabat dalam keadaan tegesa-gesa agar sampai di sekolah sebelum 6.30 petang terus memandang Irfan sambil menjengkilkan mataku ke arahnya "Irfan ni merepek ke?" "Betul Ibu, ustazah tu tanya siapa nama pengawas yang duduk di hujung tepi tingkap itu? Kemudian ustazah itu datang ke arah saya dan berkata yang saya tak layak jadi pengawas, tetapi layak sebagai pengawas mulut murai" Lantas aku bertanya lagi "Apa yang adik sudah buat, sampai ustazah cakap macam itu?"

Memandangkan aku ingin pulang segera kerana waktu maghrib akan menjelma di samping aku hendak menyiapkan makan malam lagi, aku tidak ambil kisah perkara itu. Semasa makan malam, sempat aku bertanya kepada Irfan semula apa sebenarnya cerita tadi. Irfan pun menceritakan semula apa yang telah terjadi. Puncanya ialah semasa ustazahnya sedang menerangkan tentang jenis-jenis najis, kawannya Daniel yang duduk di sebelahnya telah bertanya kepadanya apa maksud ustazah itu kerana ia bukan muslim. Memandangkan irfan pernah belajar jenis-jenis najis di sekolah agama, dia pun menerangkan serba sedikit kepada kawannya. Tetapi ustazahnya panas hati apabila melihat Irfan sedang berbual-bual semasa ia sedang mengajar.

Kemudian ustazahnya bercerita kepada murid-muridnya tentang seorang budak yang asyik bertanya kepada ibunya. Budak itu bertanya "Siput apakah itu Ibu?". Ibu itu menjawab "Sipub Babi" Anaknya bertanya lagi soalan yang sama sehingga maenyebabkan si Ibu geram dan menjawab "Siputlah Babi". Kemudian ustazah itu berkata lagi kepada anakku irfan "Diam!". Ustazah itu berkata lagi berkali-kali "Diam, Diam, Diamlah Babi".


Mula-mula ia bercerita dengan penuh semangat, selepas itu aku nampak Irfan cuba menutup mukanya dengan tangannya agar aku tidak melihat dia sedang bersedih. Tiba-tiba sambil bercerita, air matanya bercucuran jatuh ke pipi. Hatiku berasa belas melihatnya, kerana Irfan selama ini merupakan anak yang kental hatinya. Tapi kali ini hatinya begitu tersentuh apabila ustazah memanggilnya babi. Irfan memberitahu kepadaku dia berasa malu dengan kawan-kawannya atas apa yang telah berlaku kepada dirinya. Yang menjadi pelik dan hairan kepadaku, setiap kali aku mengambil buku laporan kemajuan anakku sama ada di sekolah agama atau di sekolah kebangsaan, guru kelasnya sering memaklumkan kepadaku yang irfan seorang yang pendiam.

Aku terus bertanya kepada Irfan, apakah nama ustazahnya. Malangnya Irfan tidak tahu pula nama ustazahnya. Selesai sahaja kami makan malam, aku terus membuka facebookk dan menulis coretan tentang anak-anakku untuk melepaskan geramku. Banyak juga respon yang aku peroleh dari kawan-kawan dan saudara-mara. Tapi suamiku tidak menyukai tindakanku, kerana adalah lebih baik berjumpa ustazah tersebut daripada membuat hebahan. Aku pula berpendapat jika berjumpa dengan ustazah pun tidak menyelesaikan masalah, silap-silap Irfan pula akan menjadi mangsanya lagi....

Isnin, 15 Oktober 2012

Ibu Tidak Sayang Anak ke?

Sudah lama ibu tidak menulis di ruangan ini.   Bukan tidak ada cerita, tetapi ibu sibuk dengan kerja harian dan juga asyik melawat laman web fanbox.  Di fanbox boleh mendatangkan hasil dan boleh berkomunikasi dengan kelompok yang meminati fanbox yang juga bercita-cita untuk menambahkan pendapatan.
 
Bulan Bahasa peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan di Dewan Bandaraya, Kuala Lumpur.  Bos ibu menggalakkan ibu dan kawan-kawan pergi kerana dekat sahaja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Memandangkan tiada kerja yang mendesak, kebetulan bos ibu pun tiada, maka rasa teringin pula untuk pergi menyertainya.  Bas akan disediakan dan akan bertolak jam 8.00 pagi.  Ini bermakna ibu terpaksa bangun awal untuk menyiapkan sarapan untuk anak-anak ibu dan yang penting membangunkan anak-anak ibu lebih awal daripada biasa. 
 
Malam itu sempat juga Ibu mengajar Idzham matematik kerana kertas matematik akan diadakan pada esok hari.   Ibu gosok baju Idzham dan Irfan lebih awal, selepas itu Ibu gosok baju Ibu sekali agar pagi esok tidak terkocoh-kocoh.
 
Tepat jam 6.00 pagi ibu sudah bangun.  Selepas sembahyang subuh ibu terus membangunkan Idzham dan Irfan untuk mandi pagi.  Jam baru menunjukkan 6.15 pagi.  Seperti biasa dengan mata yang masih tertutup, Idzham pun bangun dan duduk di sette depan.  Terpaksalah Ibu memujukkan Idzham agar cepat mandi kerana pagi ini Ibu misti berada di Dewan Bahasa dan Pustaka tepat jam 8.00 pagi.  Dengan lemah gemalai Idzham pun masuk ke bilik air untuk mandi.   Selepas itu Ibu pun mengejutkan Irfan pula.  Setelah puas Ibu menyuruh Irfan bangun, barulah ia bangun dan terus duduk di sette seperti Idzham.  Apabila Ibu menyuruh Irfan pergi ke bilik air, Irfan terus melihat jam dinding dan bersuara "Ibu, awal lagilah...mata saya mengantuk ni" Sambil itu Irfan terus menyambung suara "Ibu ni, tak sayang anak ke?"  Hendak sahaja ibu bersuara, tapi tidak keluar dari mulut Ibu, hanya yang dapat Ibu bercakap di dalam hati ibu  "Kalau Ibu tak sayang, ibu  tidak akan membuat sarapan pagi...tapi ibu sayang pada anak-anak ibu kerana ibu tidak mahu anak-anak ibu lapar semasa belajar nanti"
 
 
Akhirnya Irfan bangun juga menuju ke bilik air.  Sambil Ibu lalu di bilik air, sempat juga Ibu bersuara "Jangan lupa gosok gigi dan sabun badan tu!" Alhamdulillah anak-anak Ibu sempat bersembahyang Subuh, sarapan pagi dan mengemak tempat tidur. Jarum jam menunjukkan jam 6.50 pagi. .   Seterusnya Ibu masuk ke bilik untuk menguruskan diri ibu pula.  Tepat jam 7.00 pagi   Ibu, Idzham dan Irfan pun terus turun ke bawah menuju ke garaj kereta.  Sebelum Ibu memandu kereta, sempat juga Ibu berdoa agar dipermudahkan segala urusan, dijauhkan dari sebarang kecelakaan dan juga yang penting dipermudahkan anak-anak Ibu menjawab soalan agar mendapat keputusan yang cemerlang kerana minggu ini adalah  Peperiksaan Akhir Tahun.  Ibu hantar Idzham dahulu ke Sekolah Kebangsaan Taming Jaya.  Sebelum keluar Ibu berkata dengan Idzham "Semuga berjaya dan jangan lupa baca bismillah dan selawat sebelum masuk sekolah"  Idzham mengganggukkan kepala.  Dia terus melambaikan tangannya sebelum masuk ke sekolahnya.  Sselepas itu, Ibu menghantar Irfan pula ke sekolah agama beserta beg yang berisi tuala, pakaian sekolah sebelah petang dan sebagainya.  Sebelum Ibu pergi ibu berkata lagi kepada Irfan "Semuga berjaya, dan jangan lupa semak dua kali sebelum hantar kertas peperiksaan kepada guru"  Dalam hati Ibu berkata "Ya Allah, permudahkanlah anak-anakku untuk menghadapi peperiksaan mereka.
 
Alhamdulillah sepanjang perjalanan dari rumah ke pejabat Ibu, jalan tidaklah begitu sesak.  Cuma sesak sikit bila dekat dengan Jalan Tasik Selatan, tapi biasalah Kuala Lumpur jika tidak sesak rasa pelik pula.  Akhirnya ibu sampai juga jam 8.00 pagi di Dewan Bahasa.  Alhamdulillah Ya |Allah, kerana kau telah permudah segala urusan harianku...Robi Yassir, Wala tu'assir..Robbi thammim bilkhair...(itulah doa yang selalu Ibu amalkan agar dipermudahkan segala urusan).  Amin.......
ibu coretkan juga cerita ini di fanbox

 
 

Selasa, 15 Mei 2012

NASI AYAM

Memandangkan Irfan tidak berapa sihat, ibu mencadangkan Irfan tidak perlu pergi ke sekolah agama pagi itu, tetapi misti pergi ke sekolah kebangsaan kerana petang itu ada peperiksaan pertengahan tahun.


Ibu biarkan Irfan tidur sehingga jam 9.00 pagi.  Selepas itu Ibu mengerakkan Irfan bangun supaya mandi dan mengajak Irfan bersarapan di luar kerana Ibu hendak membeli ayam di Batu 9, Jalan Cheras di belakang Telekom.  Di situ ayamnya disembelih dan diproses di situ juga.  Ibu lebih yakin membeli ayam di situ dan apabila terus dimasak, rasanya lebih sedap.


Ayam yang ibu beli itu agak besar, dan Ibu menyuruh penjual itu memotong ayam kepada 4 bahagian.   Balik sahaja dari membeli ayam terus Ibu mencuci ayam tersebut dan ibu buatkan sup ayam.  Air sup tersebut ibu buat untuk membuat nasi ayam.


Ayam goreng
Set Nasi Ayam





Tetamu kecilku

Isnin, 14 Mei 2012

BUKU SKRAP DAN SEMPUT LAGI!


Pada pagi  Sabtu 12 Mei 2012 yang lalu, semasa  ibu membangunkan Irfan  dari tidur, terdengar bunyi batuk dari Irfan yang sangat melengking seolah-olah seperti bunyi batuk kering sahaja.  Terus ibu menyuruh Irfan bangun supaya minum air kosong untuk membasahi tekaknya.  Cepat-cepat  Irfan bangun dan terus mengambil air kosong untuk minum.  Mungkin Irfan sendiri pun berasa kering tekak dan terdengar bunyi batuknya yang agak pelik. Terus ibu menyuruh irfan mandi dan gosok gigi agar semua lendir yang berkumpul di dalam dada boleh dikeluarkan. 
Pada malamnya, Irfan memberitahu ibu yang Irfan disuruh membuat buku skrap bertajuk Pemakanan.  Irfan juga memaklumkan kepada ibu, siapa yang dapat menyiapkan buku skrap akan mendapat markah tambahan dalam peperiksaan setengah tahun nanti.  Lantas Ibu pun bertanya kepada Irfan bila buku itu dikehendaki oleh cikgu.  Irfan memberitahu ibu buku tersebut perlu dihantar pada hari Isnin nanti iaitu 14 Mei 2012.  Terus ibu naik angin, kenapa tidak buat kerana ada masa satu hari lagi iaitu hari Ahad.  Kemudian anakku Idzham juga memberitahuku dia juga mempunyai tugasan untuk membuat buku skrap yang bertajuk permainan Badminton.  Memandangkan ibu sendiri pun tidak tahu apa itu buku skrap, Idzham menunjukkan buku skrapnya yang belum siap lagi kepadaku. Idzham telan dilantik sebagai ketua untuk menyiapkan buku skrapnya itu.
Ibu memberitahu anak-anak ibu, komputer yang ada itulah gunanya untuk membuat buku skrap dan lain-lain, bukan games sahaja dan terus menyuruh Idzham membuat buku skrapnya dengan menggunakan perisian power point.  Memandangkan ibu pernah mengajar Idzham membuat power point, maka mudah sahajalah Idzham untuk membuatnya, termasukkah bagaimana untuk membuat layout, insert gambar dsbnya.  Selepas itu giliran Irfan pula untuk membuat buku skrapnya. 
Keesokan harinya aku pergi ke pejabat untuk mencari maklumat tentang pemain-pemain badminton dunia yang boleh ditambah lagi dalam buku skrap idzham dan juga gambar-gambar makanan yang berkhasiat serta tidak berkhasiat untuk dimasukkan ke dalam buku skrap Irfan.  Hampir 2 jam semuanya siap dicetak dan dijilid.
Pada malannya, sedang Ibu menggosk baju sekolah Irfan dan Idzham, ibu lihat Irfan masih lagi batuk dan agak kerap juga seperti orang sedang semput.  Ibu bertanya sama ada dada irfan sakit atau tidak dan Irfan menjawab sakit dan agak tidak selesa.   Ibu menyuruh Irfan bersiap-siap kerana ibu hendak membawa irfan ke klinik.  Semasa di klinik, doktor memeriksa Irfan dan mengatakan memang Irfan semput dan terus men gambil gas.  
Balik sahaja dari klinik ibu terus memberikan Irfan makan ubat yang telah diberikan oleh doktor.   Kemudian ibu mengambil minyak 1001 alam semesta yang mempunyai kandungan seperti serai wangi dan ibu mengurut-ngurut belakang, kaki, dada dan perut Irfan agar rasa selesa.  Selepas selesai mengurut, Irfan pun terus bersalaman dengan Ibu dan terus pergi ke bilik tidurnya.  Sebelum tidur sudah menjadi kelaziiman irfan dan idzham akan bersalam dan mencium tanganku.. 
Semasa Irfan tidur, ibu masih lagi mendengar bunyi batuk Irfan dan Ibu menyuruh Irfan bangun untuk membuang lendir.  Irfan pun terus bangun menuju ke bilik air.  Semasa Irfan batuk, ibu mengurut-ngurut belakang Irfan, apa lagi terus Irfan memuntahkan lendir dan segala makanan yang dimakannya malam tadi.  Memandangkan Irfan masih batuk-batuk,  Ibu menceritakan kepada ayah yang baru balik.  Ayah memberitahu Ibu supaya membetulkan kedudukan Irfan tidur dengan keadaan telangkup.  Ibu memberikan irfan lagi ubat kerana ubat yang tadi telah pun habis keluar semasa muntah.  Kerana pengambilan ubat tadi, ibu lihat Irfan terlentuk semasa duduk di sofa.  Ibu menyuruh Irfan bangun agar tidur di bilik tidur.   Setelah menunggu Irfan lena, barulah ibu masuk ke bilik tidur....Ya Allah, berikanlah anakku Irfan badan yang sihat....amin......


Selasa, 22 Februari 2011

SEMPUT

Sejak akhir-akhir ini Irfan selalu mengidap penyakit semput.  Badannya semakin susut.  Sebelum ini memang ia mempunyai penyakit semput tetapi tidak seburuk ini.  Aku perasan sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku lagi, maka terpaksalah  aku menghantar anak aku ke rumah ibu tiriku, rumah maduku dan kadangkala aku membawa mereka ke pejabat.  Anak aku suka bermain permainan di komputer, menyebabkan kawan-kawan di sekelilingku rasa terganggu..  Terpaksalah aku selalu menghantar mereka ke rumah ibu tiri mereka.  Aku hanya bertawakal kepada Allah atas keselamatan mereka.

Pada mulanya irfan batu-batuk kecil.  Lama kelamaan ia menjadi batuk yang berpanjangan hingga menyebabkan anakku sukar bernafas.  Terasa pelik juga di hatiku mengapa anakku batuk sedemikian rupa.  Aku membawa anakku ke Klinik Kita.  Doktor Salmi yang merawatnya menyuruhku membawa anakku mengambil gas sebanyak 3 kali sehari selama dua hari berturut-turut.   Kerana kejahilanku, aku hanya membawanya sehari sahaja kerana tidak mahu banyak gas yang masuk ke dalam tubuh anakku.  Lama kelamaan batuk anakku semakin teruk.  Yang menyedihkan aku dia tidak pandai untuk mengeluarkan lendir di dalam dadanya.  Aku selalu menjerit kepadanya keluarkan..keluarkan lendir tu..semasa ia sedang batuk.  Rupa-rupanya ia menjadi berang kepadaku dan mengatakan ia sakit dada dan pening kepala mendengar leteranku.   Aku terpaku dan terfikir sejenak apakah tindakan aku itu betul dengan menyuruhnya untuk mengeluarkan lendir di dadanya sedangkan ia tidak begitu pandai untuk melakukkannnya.

Bergaya dengan rambuk kacak

Sekali lagi aku membawa anakku ke Klinik Kita.  Semasa sedang menunggu aku mengharapkan agar doktor lain yang merawat anakku kerana aku malu kepada Dr. Salmi yang tidak mengikut nasihatnya agar membawa anakku ke klinik untuk mengambil gas untuk dua hari.  Tetapi nomborku yang terpapar di atas nombor giliran di bilik Dr. Salmi.  Semasa Dr. Salmi memeriksa dada Irfan, ia terus menyuruh jururawat menyediakan gas untuk anakku.  Aku menjelaskan kepada Dr. Salmi beliau tidak semput kerana dadanya tidak berbunyi, tetapi beliau memaklumkan batuk anakku itu adalah batuk semput.  Kesian anakku kerana kebodohan dan ketidakprihatinanku terhadap kesihatannya.   Tetapi batuk anakku masih juga tidak berkurangan.

Pada malam itu, Irfan mengadu badannya panas.  Aku memberikannya ubat demam yang sememangnya aku simpan jika berlaku kecemasan.  Pada tengah malam dada irfan berbunyi.  Bunyi di dadanya semakin kuat apabila ia batuk-batuk.  Aku sudah kehilangan akal dan upaya bagaimana untuk mengubati anakku.  Akhir sekali aku meminta suamiku membawa anakku ke Pusrawi Kajang, kerana Klinik Kita pun sudah pun tutup kerana ketika itu jam 12.30 malam.  Aku tidak dapat menemani Irfan dan suamiku, kerana Idzham anakku yang sulung sedang tidur.  Semasa suamiku membawa Irfan untuk mendapatkan rawatan, aku baring di sebelah anakku Idzham sambil memeluknya dan berdoa kepada Allah agar anakku Irfan cepat sembuh.  Air mataku mengalir deras bila memikirkan Irfan yang tidak sihat itu.  Sambil maenunggu suami dan anakku pulang, aku melipat kain baju yang sudah kering di penyidai.






Apabila anakku Irfan pulang ia nampak begitu ceria dan sibuk bercerita kepadaku yang aku sendiri tidak ingat apa yang diperkatakan kepadaku.  Aku menyuruh Irfan tidur denganku kerana suamiku akan tidur di rumah isterinya yang pertama.  Suamiku memberiku surat dari doktor untuk membawa anakku  ke Hospital Serdang, kerana sebelum ini aku pernah mencadangkan kepada suamiku agar membawa Irfan ke Hospital Serdang untuk mengetahui apakah penyakitnya yang sebenar kerana badannya yang semakin kurus, asyik deman dan sekarang pula batuk yang berpanjangan. 

Jam 6 pagi aku terjaga dari tidur dan aku masih lagi terdengar bunyi di dada anakku.  Badannya panas apabila aku meletakkan tanganku di lehernya. Selepas aku mandi dan sembahyang subuh aku terus dekati  anakku, dadanya masih berbunyi dan kali ini agak kuat sedikit.  Aku terus telefon suamiku agar dapat  membawa anakku ke Hospital Serdang.  Suamiku menyuruhku bersabar kerana ia hendak pergi ke pejabat dahulu.  Aku terus melenting dan berkata supaya ia menghantarku sahaja dan aku akan menguruskan sendiri anakku semasa di Hospital Serdang nanti.  Kadang kala aku berasa hairan kerana suamiku masih boleh memikirkan tentang kerja walaupun anaknya sedang sakit.  Akhirnya ia akur dan membawaku dan Irfan  ke Hospital Serdang. 



Selepas sembahyang maghrib


Sampai di sana, suamiku mengarahkan aku pergi ke doktor pakar kanak-kanak.  Rupa-rupanyanya aku hanya boleh membuat temujanji dahulu.  Aku memaklumkan kepada jururawat bertugas anakku sedang semput, ia cuma mengarahkan aku pergi ke tempat kecemasan. Untuk pergi ke sana mengambil masa 20 minit juga kerana tempatnya agak jauh.  Anakku masih lagi ceria walaupun nampak ia agak tercungap-cungap kerana terpaksa berjalan ke tempat tersebut.  Sampai sahaja di sana petugas tersebut mengarahkan aku masuk bersama anakku untuk mengambil gas. Suamiku tunggu di ruangan menunggu. 

Doktor yang bertugas disitu memeriksa dadanya dan berkata kepadaku adakah anakku mengambil gas setiap hari.  Aku memaklumkan anakku memang mengambil gas bekas warna coklat setiap pagi dan malam, cuma kadang-kadang aku terlepas kerana terlupa.  Selepas beliau memeriksa dada anakku, ia mengarahkan petugas memberikan anakku gas.  Beliau memaklumkan kepadaku, anakku perlu mengambil gas bekas coklat setiap hari seperti yang disarankan untuk mengelakkan penyakit semput berlaku dan ia memaklumkan terdapat 2 kes pesakit semput meninggal dunia dalam bulan ini. Sambil menyindir ia berkata anakku masih boleh gelak denganku walaupun dadanya berbunyi dan agak teruk juga. 

Selepas pengambilan gas, anakku diarahkan mengambil X-ray.  Setelah mendapat keputusan, doktor menerangkan kepadaku paru-paru anakku panjang sedikit kerana selalu bernafas tercungap-cungap.  Kecut juga di hatiku mendengar penerangannya.  Di dalam hati, aku berjanji akan memastikan Irfan akan mengambil gas tersebut setiap hari.  Akhir sekali, anakku diberi pil sebanyak 22 biji untuk dimakan mengikut sukatan yang diberikan.  Alhamdulillah sehingga hari ini aku menulis anakku sihat walafiat dan aku masih lagi memantau kesihatannya agar tidak lagi menjadi lebih teruk...Amin...

Isnin, 22 November 2010

AMBOI PAK ITAM SAYANG!

Ketika aku pulang dari pejabat bersama anakku Irfan (kebetulan cuti sekolah pada hari itu, aku bawa Irfan ke pejabat, abangnya pula di rumah maduku kerana suamiku bercuti untuk membuat kolam ikan di rumahnya).  Kebetulan ketika itu sedang berkumandang lagu Amboi Pak Itam Sayang di stesen Radio Klasik.   Sambil memandu aku menyanyi lagu tersebut kerana aku memang meminati lagu-lagu klasik.  Fikiranku teringatkan budak-budak muda di zaman itu yang  memakai baju petak-petak dan lengannya  pula dilipat hingga ke paras lengan.  Rambut mereka berminyak dan berketak-ketak dan disisir rapi ke belakang.  Aku bayangkan budak-budak muda di zaman itu  dalam filem P. Ramle iaitu pelakon S . Samsudin, Aziz Satar dan juga  S. Romai Noor.  Setiap petang aku sering membuka siaran klasik nasional ketika pulang dari pejabat lebih-lebih lagi untuk mengikuti rancangan Adila yang bermaksud Aku, dia dan Lagu.  Pernah aku menangis seorang diri ketika memandu pulang ke rumah tatkala mendengar suatu kisah di rancangan tersebut.  Cerita tersebut begitu menyentuh perasaanku. Ada juga tergerak di hatiku untuk menghantar ceritku ke rancangan tersebut, tetapi sampai sahaja di pejabat aku sibuk dalam menjalankan tugas-tugasku di pejabat.
Sedang aku asyik melayani lagu tersebut, tiba-tiba anakku Irfan terus menukar ke stesen lain sambil berkata, "Ibu, saya tidak sukalah lagu ini, sebab saya rasa macam nak muntah"  Aku berkata kepada anakku "Kenapa pula Irfan hendak muntah"  Ibu suka lagu ini, dan lagu ini sudah lama dan hampir berusia 50 tahun tau!

Geram pula aku dengan sikap Irfan yang menukar stesen tanpa meminta izin dariku.  Aku memandang ke arahnya.  Apabila ia tahu aku marah atas sikapnya iatu lantas ia pun bersuara "Lagu ini cerita pasal air liur meleleh lah ibu. Itu  yang saya rasa macam hendak muntah" Irfan memberitahu aku kenapa ia berbuat demikian. "Laa....pasal itu saja ke?"  Aku bersuara.  Selama aku mendengat lagu ini tidak pernah aku terfikirkan tentang itu. Rasa hendak tergelak pun ada, tapi aku tidak menunjukkan sebarang reaksi yang melucukan.

"Nanti jika ibu sudah tua, air liur ibu meleleh macam mana?  Siapa nak tolong jaga ibu"  Aku cuba mengujinya.  "Kalau ibu macam itu saya jagalah, sebab ibu itukan, ibu saya" Irfan menjawab bersahaja.  "Iyalah tu.....jangan hantar ibu ke rumah orang tua-tua sudahlah"  Aku menjawab.  Terasa sebak semasa aku menuturkan kata-kata itu terhadap anakku. Mendengar aku berkata demikian, Irfan terus memeluk lenganku dan berkata "Saya akan menjaga ibu, walaupun ibu sudah tua...". Di dalam hatiku berkata "Irfan, ibu sayang kepada Irfan, semoga Irfan jadi anak yang soleh.  Apabila  aku menoleh lagi Irfan sudah pun melelapkan mata sambil kepalanya terlentuk ke arahku kerana keletihan bermain games di komputer seharian di pejabatku. Irfan..Irfan...


Isnin, 25 Oktober 2010

TAUBAT NASUHA

Aku telah menonton sebuah drama yang paling menyayat hatiku yang bertajuk Taubat Nasuha pada malam 25 Oktober 2010. Drama tersebut dibintangi oleh Fauzi Nawawi dan Syila Rusly serta dibantu oleh Datuk Jalaluddin Hassan dan 3 orang kanak-kanak yang comel dan cerdik. Drama itu ditayangkan semula untuk pertandingan drama bagi Anugerah Skrin tahun 2010.
Cerita itu mengisahkan seorang lelaki juga seorang ayah yang mengalami sakit jiwa kerana kisah silamnya yang selalu dipukul oleh ayahnya semasa ia masih kecil. Akhirnya budak itu pun dewasa dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak yang begitu aktif, periang, lincah dan cerdik. Setiap kali anak-anaknya membuat bising beliau akan mengherdik anak-anaknya sambil mengatakan anaknya bersikap tidak seperti anak-anak lain. Tidak boleh terlihat olehnya sebarang kesalahan anaknya semuanya menjadi isu untuk ia memarahi anaknya. Walhal sememangnya anak-anak semua bersikap demikian.
Sikap isterinya yang taat, takut kepada suaminya dan sering menasihati anak-anaknya supaya jangan membuat nakal dan bising adalah untuk mengelakkan anak-anaknya supaya tidak dipukul atau diherdik oleh suaminya.
Suatu episod yang mengisahkan anak-anaknya berlari turun dari tangga menyambut kepulangan ayahnya kerana ingin memberitahu ayahnya yang mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi sebaliknya mereka mendapat herdikan dan sumpah seranah atas alasan yang mereka membuat bising dan menyebabkan ia terkejut semasa anaknya mengdekatinya.

Semasa cuti sekolah, mereka pulang ke kampung berjumpa dengan datuknya, iaitu ayah kepada ibu mereka. Di sana mereka sangat gembira dan sering mendengar cerita tentang Rasulullah s.a.w. Terlopong ketiga-tiga adik beradik itu apabila mendengar cerita datuknya. Akhirnya cuti sekolah telah pun berakhir dan dengan perasaan berat hati mereka pulang semua ke rumah mereka.

Di suatu pagi, anak-anaknya bergaduh semasa mengambil sarapan untuk pergi ke sekolah. Apabila dilihat oleh ayahnya sikap anak-anaknya itu, perasaan marahnya timbul lalu menarik rambut kedua-dua anaknya dan menolaknya ke bawah meja. Semasa di bawah meja si abang memberi isyarat kepada adiknya supaya diam dan jangan menangis agar tidak dipukul lagi oleh ayahnya. Ibu mereka cepat-cepat menyuruh mereka mengambil beg sekolah dan mereka pun bersalaman dengan ayah mereka walaupun air mata masih lagi mengalir keluar. Apabila waktu tengahari, ibu mereka pun keluar untuk mengambil anaknya dari sekolah. Sebelum mengambil anaknya di sekolah, ia singgah sejejap pergi ke bank untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaannya. Rupanya ada dua orang hamblau telah mengikuti mereka pulang ke rumah. Belum sempat mereka masuk ke rumah, kesemua mereka diheret keluar dari kereta dan ditarik masuk ke dalam rumah. Di sini berlaku kisah yang amat tragis di mana kesemua anak-anaknya dibunuh dan akhir sekali ibunya pun dibunuh kerana tidak dapat menghubungi suaminya yang sedang leka bersukaria dengan rakan pejabat.

Aku hubungkan dengan sikapnya yang begitu cepat naik angin terhadap anak-anakku semenjak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku. Segala keperluan mereka ku lakukan seorang diri. Setiap pagi aku sediakan sarapan, apabila pergi ke sekolah agama, kami terpaksa bawa beg sekolah agama dan kebangsaan kerana anakku transit di sekolah agama. Apabila petang pula ada sahaja barang mereka yang hilang samada baju sekolah agama, bekal air, songkok. Sebelum aku beredar pulang, aku terpaksa periksa dahulu di tempat transit mereka, semua barangan mereka cukup baru aku boleh beredar pulang ke rumah. Jika petang itu ada barang mereka yang hilang, panas baran aku mula timbul. Sebelah malam pula terpaksa memasak, mengemas rumah, membasuh kain, menggosok baju sekolah untuk hari berikutnya. Akhirnya aku menjadi stress dan cepat naik angin. kadang kala aku memukul mereka dengan penyakut baju apabila mereka tidak mengendahkan suruhanku. Aku menjadi pemarah dan sering menengking mereka jika mereka tidak mengikut arahanku.

Apabila aku menonton drama itu, aku betul-betul tersentuh hati. Aku menangis sehingga bengkak mataku. Aku peluk anak-anakku yang juga turut bersedih melihat drama itu. Aku tidak mahu kehilangan anak-anakku dan memikir kembali apa akan berlaku jika anakku diambil semula oleh yang amat berkuasa. Malam itu sebelum anak-anakku tidur, aku peluk mereka dan air mataku tertumpah lagi mengenangkan drama yang menyayat hatiku. Aku mohon agar semua iatu tidak berlaku kepadaku. Ya Allah berikan aku kekuatan semasa aku mendidik dan membesarkan anak-anakku...Ya Allah ya Tuhanku selamatkan anak-anakku semasa mereka bersekolah ketika aku sedang bekerja mencari rezeki dalam meneruskan hidup ini.....Jauhkan kami dari bala bencana dunia dan akhirat. Aku amat memohon pertolonganmu Ya Allah...Amin Ya Robbal 'alamin..

Ahad, 27 Jun 2010

BUAH NAGA MERAH MENYALA.

Pada 5 Jun 2010 suamiku mengajak aku ke bandar Sijangkang, daerah di negeri Selangor untuk diurut oleh seorang tukang urut di sana. Suamiku memanggilnya wak kerana ia orang Jawa. Sendi di pehanya masih sakit lagi walaupun telah diurut oleh beberapa tukang urut yang lain. Puncanya adalah bermula apabila beliau telah mengangkat mayat seorang wanita yang telah meninggal dunia di tepi jalan besar berhadapan dengan Jusco Cheras Selatan di Balakong. Walaupun mayat itu diangkat oleh 4 orang lelaki, tetapi untuk memasukkan mayat tersebut ke dalam kereta kancil agak sukar kerana pintu kereta tersebut kecil, lebih-lebih lagi bila yang mengangkat mayat di sebelah hadapan hanya tinggal seorang sahaja iaitu suamiku. Dengan sepenuh tenaga sebelah kakinya menahan berat mayat tersebut agar tidak jatuh, tiba-tiba beliau terasa ada bunyi di sendi pahanya.

Sejak dari itu, beliau asyik mengadu sakit lebih-lebih lagi apabila beliau hendak bangun atau apabila sedang berjalan laju. Aku pula mungkin menganggapnya sakit biasa kerana beliau tidak bercerita kesakitan itu berpunca kerana mengangkat mayat itu. Setelah beberapa kali mengeluh sakitnya masih lagi tidak pulih akhirnya aku bertanya sejak bila, buat kerja apa sampai sakit begitu dan sebagainya. Akhirnya barulah aku tahu punca berlakunya kesakitan di pehanya. Aku cuba juga mengurut di tempat yang sakit itu, kerana suamiku mengatakan aku pernah mengurut jarinya yang terkehel boleh sembuh. Tapi kudratku tidak sekuat mana untuk mengurutnya dan setelah aku mencubanya beberapa kali namun kesakitanya masih lagi tidak dapat dihilangkan.
Semasa kami sampai di sana, terdapat seorang lelaki yang sedang diurut oleh wak tersebut. Sementara menunggu giliran, aku dimaklumkan oleh suamiku di sebelah rumah wak membuat tempe. Aku lihat ada dua orang wanita sedang membungkus tempe tersebut. Lantas aku pun menuju ke rumah sebelah dan memberi salam kepada mereka. Membusut tinggi kacang soya yang telah diproses untuk dijadikan tempe, hanya tinggal untuk kerja membungkus pula. Aku pun membeli tempe tersebut sebanyak RM15.00 untuk diberikan kepada keluargaku yang lain. Wanita tersebut memaklumkan kepadaku tempe ini hanya boleh dimakan dua hari lagi.

Setelah selesai suamiku diurut oleh wak berkenaan, kami singgah ke pantai Morib. Cuaca di sana amat panas dan terik pula. Anakku sibuk hendak bermain layang-layang. Memandangkan cuaca yang amat panas dan angin kurang, layang-layang agak sukar untuk dinaikkan ke atas. Irfan menjadi bosan, lalu dia mengambil keputusan mencari siput dan duduk di sebelahku yang duduk di tepi pantai yang agak redup. Apabila jam menunjukkan hampir ke pukul 6.00 petang kami pun berangkat pulang. Ketika sampai ke Dengkil, ramai penjaja di tepi jalan menjual buah-buahan termasuklah buang naga. Teringin rasa dihati untuk membelinya, kerana memikirkan kesegarannya yang mungkin baru diambil dari pokok. Aku menyuruh suamiku memberhentikan kereta untuk aku membeli buah naga itu. Aku pun mengambil dua biji buah naga yang agak besar dan penjual itu memaklumkan kepadaku harganya RM13.00 (mungkin lebih, lupa pulak). Dalam hatiku berkata "aduh mahalnya". Tetapi aku membeli juga kerana teringin untuk memakan buah naga yang kelihatan besar dan segar.

Buah Naga

Sampai sahaja di rumah, Irfan terus meminta aku membelah buah naga itu. Tanpa berlengah lagi aku pun terus mengambil pisau dan membelah buah tersebut. Wow merahnya isi buah naga itu.



Apatah lagi anakku Irfan terus memakannya dengan penuh perasaan. Idzham makan juga tetapi tidak seperti adiknya yang memang meminati buah naga. Sekali makan habis sebiji buah naga itu. Aku memujuk Irfan supaya sebiji lagi disimpan untuk dimakan pada hari esok pula. Beliau mengangguk tanda setuju dengan cadanganku.

Keesokan harinya aku pergi kerja seperti biasa dan juga anak-anakku juga pergi bersekolah pagi (sekolah agama) dan petang (sekolah kebangsaan). Apabila aku pulang ibuku memberitahu kepadaku buah naga yang tinggal sebiji dimakan oleh anakku Irfan seorang. Nasib baik aku telah merasa sedikit pada malam tadi, kalau tidak hai...kempunan. Tapi tidaklah sehingga seperti cerita seorang ibu yang kempunan telur tembakul.

Jumaat, 4 Jun 2010

National Geography

Aku dan anak-anakku amat suka menonton filem National Geography, iaitu filem dokumentari tentang binatang-binatang.  Malangnya siarannya adalah di waktu petang yang melangkawi waktu maghrib iaitu jam 6.30 hingga 8.00 malam di TV1.   Jika waktu sembahyang maghrib sudah masuk, tidak senang rasa hati aku dan anak-anakku.  Untuk mengelakkan anak-anakku supaya tidak lewat sembahyang maghrib, terpaksalah aku menutup tv agar kami sama-sama dapat melakukan sembahyang maghrib mengikut dalam waktunya.  Tetapi kadang kala lewat juga aku dan anak-anakku sembahyang maghrib jika filem tersebut menceritakan binatang yang agak pelik seperti singa laut, penguin yang tidak ada di Malaysia.  Harapan aku agar RTM dapat menukarkan siaran itu pukul 9.00 malam, kerana filem dokumentari itu amat bagus dan baik untuk peringkat budak-budak yang masih belajar.

Ahad, 30 Mei 2010

TIDAK MAHU JADI SEPERTI FARID!

Aku teringat ada satu drama tv di tv3 yang telah aku tonton bersama anak-anakku yang mengisahkan dua orang adik beradik yang  bernama Abdullah dan adiknya Farid.  Abangnya Abdullah terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana adiknya Farid telah pergi bekerja di bandar.  Abdullah telah berhenti kerja di Kuala Lumpur adalah kerana  semata-mata untuk menjaga ibunya yang sudah tua di kampung.  Abdullah bekerja di kilang kayu arang yang sama bersama ibunya.  Semasa bekerja di kilang itu, seorang gadis telah jatuh hati kepada Abdullah kerana kerajinan Abdullah dan sikapnya yang tidak membuang masa seperti pemuda lain.  Abdullah rupa-rupanya juga tidak bertepuk sebelah tangan.  Setiap bulan gajinya diserahkan kepada ibunya dengan mengharapkan apabila wang simpanannya telah cukup bolehlah ibunya masuk meminang si gadis tersebut.  Perhubungan kedua-duanya juga direstui kedua-dua belah pihak.

Berbalik kisah adiknya Farid yang telah bekerja di bandar, beliau telah berkenalan dengan seorang gadis yang bekerja sebagai pelayan kelab malam yang kebetulan bekas kawan abangnya Abdullah.  Gadis ini pernah menaruh hati terhadap abangnya Abdullah tetapi cintanya telah ditolak oleh Abdullah.  Apabila gadis itu tahu Farid adalah adik kepada abangnya Abdullah, gadis itu mula merancang bagaimana untuk mendekatkan dirinya kepada Abdullah semula.  Dia memberitahu Farid yang dirinya sedang dicari oleh Along kerana telah meminjam wang.  Bagi mengelakkan gadis itu dari dikesan oleh orang-orang  Along dan juga demi keselamatan gadis tersebut, Farid telah membawa gadis itu ke kampungnya.  Berbagai cara si gadis ini cuba untuk menggoda Abdullah malangnya tidak berjaya.  Farid yang sememangnya telah terpesona kepada kecantikan si gadis itu, ahirnya Farid telah berjaya mengahwini gadis tersebut. 

Sejak dari itu bermulalah pelbagai kisah yang lebih tragis apabila isteri Farid merayu ingin membeli barang perhiasan, Farid yang terlalu sayang akan isterinya sanggup meminjam wang dari ibunya.  Ibunya pula terpujuk akan pujuk rayu Farid telah memberikan wang simpanan abangnya Abdullah kepada Farid.  Apabila tarikh perkahwinan Abdullah hampir tiba, Ibunya pergi ke bandar meminta wang itu daripada Farid.  Malangnya dengan muka selamba, Farid mengatakan dia tidak mempunyai duit.  Puas ibunya merayu tetapi sebaliknya Farid menempelak ibunya semula.  Pulanglah ibunya dengan perasaan sedih dan kesal kerana telah memberikan wang simpanan Abdullah.  Bagi menggantikan semula wang tersebut, ibunya telah bekerja sehingga larut malam di kilang tersebut dan juga membuat berbagai pekerjaan sehinggalah kesihatannya semakin teruk.  Akhirnya Abdullah tahu tentang tentang wang simpanannya telah diberikan kepada Farid oleh ibunya.

Dalam pada itu isteri Farid cuba menghasut suaminya dengan mengatakan tanah tapak rumah ibu Farid mungkin akan diambil oleh abangnya Abdullah setelah berkahwin nanti.  Apabila mendengar cerita itu, Farid terus pulang ke kampungnya dan pergaduhan mula berlaku.  Maka berlakulah pergelutan antara Farid dengan Abdullah.  Kerana terlampau cemburu dan fikirannya tidak boleh dikawal lagi, Farid terus mengambil sebatang besi dan cuba menikam abangnya Abdullah.  Apabila ibu mereka melihat keadaan itu, ia terus menolak anaknya Abdullah malangnya besi itu pula yang menosok ke perutnya. 

Apabila melihat keadaan itu isteri Farid ketawa sepuas-puasnya kerana dendamnya telah terlaksana.  Farid bingung melihat isterinya yang dikahwininya selama ini rupa-rupanya hanya ingin membalas dendam terhadap keluarganya.  Dia terus menghalau isterinya sambil menangis dan memeluk ibunya yang sedang luka parah.  Semasa ibunya sedang nazak, sempat juga ibunya memberitahu bahawa dia sayang akan kedua-dua anaknya dan tidak membezakan kasih sayangnya.  Aku menangis apabila melihat adegan itu sehingga  tidak sedar mataku kelihatan bengkak kerana terlalu banyak mengeluarkan air mata. Rupa-rupanya kedua-dua anakku juga terkedu dan sedih melihat adegan tersebut.  Mungkin mereka berfikir sampai hati seorang anak boleh membunuh ibu yang melahirkan mereka.

Apabila anakku Irfan bertanya kepadaku kenapa Farid membunuh ibunya.  Aku mengatakan kerana Farid bergaduh dengan abangnya kerana berebutkan harta.  Sambil itu aku mengatakan kepada anak-anakku kerana pergaduhan begitu menyebabkan ibu mereka mati. "Nak gaduh dengan abang lagi tak?" tanyaku kepada mereka dengan nada yang masih sedih kepada anakku Irfan .  Aku menyambung lagi "Nanti bila ibu sudah tua, Ibu sudah tidak larat lagi nak leraikan pergaduhan antara Irfan dengan Idzham, jika anak-anak ibu bergaduh ".   "Kami tak nak bergaduh lagi ibu" kata mereka berdua. Kedua-dua anakku menangis sambil memelukku.  Air mata kami jatuh ke lantai dan kami bertiga berpelukan.  Aku memegang tangan kedua-dua anak-anakku.  Aku juga sayangkan anak-anakku berdua...

Ahad, 11 April 2010

Allah hu Akbar!

Anakku Muhammad Irfan adalah anakku yang kedua. Dilahirkan pada 31 Januari 2003. Umurnya baru tujuh tahun. Tingginya lebih kurang sama dengan abangnya Muhammad Idzham yang berumur 9 tahun. Semasa dilahirkan pun memang agak besar, beratnya semasa dilahirkan 3.61 kg. Patutlah semasa aku mengandung ketika itu, saiz perut aku ni besar semacam. Asyik nak makan saja. Lebih-lebih lagi jika ada pasar malam di kawasan perumahanku, ada jualan nasi lemak kukus sambal sotong. Aduh sedapnya...

Kulitnya putih kuning. Mulutnya pun boleh tahan becoknya. Entahlah! tidak tahulah siapa yang dia ikut...akukah? atau suamikukah? Tapi aku ni tidaklah becok sangat...ada masanya aku lebih suka mendiamkan diri daripada bercakap benda-benda yang tidak berfaedah. lagi banyak bercakap lagi banyak kesalahan yang akan kita buat. Prinsip itu memang aku ingat betul. Ayahnya pula memang suka bercerita...tapi tidaklah sebecok mulut anakku...Tapi bila depan ayahnya, sebaliknya. Bila ayahnya tanya satu, jawabnya pun satu. Kalau tak jawab senyum saja. Ayahnya pun garang semacam. Kadang kala pula baik sangat.
Suatu hari, aku dan anak-anakku balik dari membeli-belah. Rumahku pula di tingkat 3. Lift tiada sebab pangsapuri rumahku hanya 4 tingkat sahaja. Tidak perlu diadakan lift. Setelah aku meletak kereta di  ruangan tempat letak kereta aku pun bersuara.

Ibu: "Idzham dan Irfan kena tolong ibu tau..Banyak barang nak bawa ni. Bahu ibu ini sakit. Tidak boleh bawa banyak barang".

Kebetulan pula di masa itu, ayahnya tiada. Cuma aku dan anak-anakku saja. Sememangnya bahuku ini selalu sakit, seolah-olah tulang sendi di bahuku berseliseh atau mungkin terkeluar sedikit. Sudah puas aku berurut, tapi kesannya sekejap saja, lepas itu sakit balik. Tidak boleh lasak-lasak sangat. Tapi bila masa tengah rajin pada hari itu lupa aku ini sakit. Bila sudah petang baru terasa sakit dan berdenyut-denyut bahuku. Masa itu barulah aku mula mencari minyak urut, dan ku urut sendiri bahuku agar dapat mengurangkan kesakitannya.

Yang menggelikan hatiku ialah perkataan yang terkeluar dari mulut anakku Irfan. Yang pertama hanya diam dan akur kerana tahu ibunya sakit bahu.

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : "Bawa mana yang boleh. Kitakan sama-sama letih".

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : "Dah sampai di atas nanti, bolehlah kita minum Yogurt yang kita beli tu."

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : " Yang Irfan ni asyik cakap Allah hu Akbar ni kenapa? Ingat ibu cakap main-main ke?" Naik angin pula aku seketika, dah penat shopping, badan pun dah letih.

Irfan : "Ibu, Irfan nak ikut macam kawan Irfan. Nama dia Amir Aziq. Dia selalu cakap macam tu"

Ibu : "Iyalah, tapi tak payahlah asyik cakap Allah hu Akbar saja. Lebih elok dan sopan cakap baik ibu, kan itu lebih baik.

Irfan pernah bercerita denganku, guru kelasnya telah memberitahu setiap murid markah yang mereka peroleh bagi bulan Mac 2010. Bila sampai kepada Amir Aziq, gurunya pun memberitahu markahnya 29%. Terus Amir Aziq pun bersuara "Allah hu Akbar". Mungkin gurunya tahu perangai Amir Aziq kot....Tetapi markahnya yang sebenar ialah 92%, saja gurunya nak mengusik anak-nak muridnya yang pelbagai keletah...

Anakku Irfan dengan kawannya Amir Aziq bersekolah di kelas yang sama iaitu 1 Gemilang di Sekolah Rendah Taming Jaya, Balakong. Tetapi setelah diadakan peperiksaan bulanan anakku telah bertukar di 1 wawasan dan Amir Aziq pula mungkin di 1 rajin (kalau tidak silap). Amir Aziq pula memang dalam kategori raut mukanya manis dan badan agak berisi.  Terselah giginya yang putih bersih bila tersenyum.  Bila besar nanti mesti ramai peminat.


Itu baru umur tujuh tahun. Budak-budak sekarang ini tidak tahu takut. Cuma kita perlu bimbing agar jangan keterlaluan dan kurang ajar kepada yang lebih tua. Tapi bila teringat balik keletah anakku Irfan aku senyum sorang-sorang.  Hai.Irfan...Irfan....

Rabu, 9 Disember 2009

Semasa Kelahiranmu

Semasa ibu terima berita dari doktor yang mengesahkan ibu mengandung lagi kali kedua, ibu terima dengan hati yang gembira dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Gembira kerana akan menimang cahaya mata yang kedua. Keduanya abangmu Idzham akan mempunyai adik dan bolehlah berkongsi apa saja untuk menceriakan hidup kita sekeluarga.
Tetapi ibu agak cuak, kerana semasa abangmu dilahirkan, ibu terpaksa dibedah kerana ia tidak boleh melalui cara biasa. Tapi bagi ibu, itu semua adalah qada dan kadar. Jika sudah tiba ajal ibu, itu adalah kententuan tuhan. Sepatutnya ibu boleh melahirkan anak lagi selepas usia abangmu tiga tahun. Itu adalan saranan dari doktor demi kesihatan ibu.
Semasa ibu mengandungkan abangmu Idzham, selera ibu tidaklah tinggi sangat dan tidaklah sering muntah-muntah 'morning sickness' seperti kawan-kawan ibu yang lain. Tapi ibu hanya terasa mual apabila selepas makan. Jadi ibu selalu beli asam boi atau epal hijau untuk menghilangkan mual di mulut ibu. Tapi semasa ibu mengandungkan Irfan selera ibu lain macam pula. Asik nak mengunyah saja. Jika di pasar malam, tidak pernah miss untuk ibu beli nasi lemak kukus bersambalkan sotong kering. Sebab itulah semasa kandungan ibu baru mencecah 5 hingga 6 bulan, perut ibu besarnya seolah-olah sudah 8 bulan. Buah-buahan merupakan kegemaran ibu kecuali buah durian, kerana buah durian terlalu panas dan sukar untuk ibu tidur malam. Setiap malam tidur ibu juga tidak berapa selesa dan nyenyak, kerana keadaan perut yang semakin membesar.
Apabila kandungan ibu discan oleh pihak HUKUM, ibu melihat di dalam screen mesin secan, anak ibu seorang bayi lelaki yang amat akitf. Kakimu asyik menendang-nendang seolah-olah sedang menendang bola. Patutlah sakit perut ibu dibuatnya, kadang kala terasa bentuk lutut atau siku di atas permukaan perut ibu, dan ibu kadang kala memegangnya dengan lembut tetapi mungkin bila terasa dipegang terus hilang dari permukaan perut ibu.
Semasa pemeriksaan setiap bulan, ibu memohon kepada doktor yang memeriksa ibu agar ibu dibedah apabila sampai saatnya. Ini adalah kerana ibu tidak mahu peristiwa lama berulang kembali semasa melahirkan abangmu. Pada ketika itu ibu terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat kerana selepas pecah ketuban jam 7.30 malam hingga 7.30 pagi hari berikutnya abangmu masih lagi tidak dapat dilahirkan. Semasa jam 3 -4 pagi seorang jururawat telah menggerakkan ibu dan memberitahu ibu supaya jangan mengerang begitu kerana kuatir mengganggu pesakit lain. Ini adalah mungkin kerana terlampau sakit sehingga ibu tidak sedar apa yang telah ibu lakukan.
Doktor memberi anggaran tempoh kelahiranmu iaitu ibu akan melahirkanmu pada tarikh 2 Februari 2003. Pada 30 Januari 2003, ibu terasa sakit pinggang yang agak kuat seolah-olah masanya sudah hampir tiba. Tapi apabila sudah berada di wad, sakit semakin hilang apabila melihat pelbagai karenah wanita yang akan melahirkan anak mereka di dalam wad tersebut. Pagi 31 Januari 2003, kesakitan datang kembali dan kali ini semakin kuat dan darah telah kelihatan. Kebetulan pula, ketika itu beberapa orang doktor sedang buat pemeriksaan di wad berkenaan (7 orang doktor kesemuanya) dan sekali-sekala mereka memandang ke arah ibu, mungkin mereka sedang berbicang tentang permintaan ibu agar dibedah. Akhirnya salah seorang daripada mereka memaklumkan kepada ibu dan mereka bersetuju agar ibu dibedah dengan alasan yang ibu berikan iaitu salah satunya ialah faktor usia, dan ibu tidak mahu mengandung lagi.
Kesakitan ibu semakin memuncak, tetapi jururawat mengesahkan ibu terpaksa menahan sekejap kerana doktor pergi sembahyang kebetulan hari itu hari Jummat. Ibu pun berdoa agar dapat bertahan sehingga doktor selesai sembahyang. Jam 3.00 petang jururawat telah menghantar ibu ke bilik bedah. Perasaan takut bercampur bimbang bermain di fikiran ibu. Terbayang wajah suamiku Ridzwan, anak sulungku Muhammad Idzham, ibuku dan keluarga yang lain. Berlegar-legar di fikiran ibu, jika ibu pergi dahulu mengadap Ilahi bagaimana dengan anak ibu? Siapa yang akan memeliharanya? Semuanya itu bermain di minda ibu. Sedih pula rasanya seolah-olah ibu sedang berperang dengan maut. Ibu mengucap dua kalimah syahadah dan beristigfar sebanyak-banyaknya memohon kepada Allah agar diberi puluang untuk hidup lagi agar dapat menjaga anak-anak ibu dan dapat melihat anak-anak ibu membesar.
Jam 3.00 petang, jururawat mengangkat ibu ke katil beroda untuk dibawa ke bilik bedah. Sampai di bilik bedah kelihatan sepasukan petugas yang akan melakukan pembedahan tersebut. Doktor yang akan membedah ibu seorang perempuan dan juga seorang doktor lelaki. Doktor lelaki tersebut berkata beliau akan menyuntik bius di tulang belakang ibu dan menyuruh ibu duduk sambil membongkok.
Ibu pernah disuntik sebelum ini, dan rasanya tidaklah berapa sakit. Apabila jarum mula dicucukkan ditulang belakangku, mula-mula tidak berapa sakit tapi lama-kelamaan aduh! sakitnya...Kemudian ibu disuruh baring. Agak-agak dalam berapa minit ibu tidak merasa apa-apa lagi bila doktor memegang perut ibu. Bius itu berfungsi hanya separuh badan iaitu dari perut hingga kaki ibu tetapi mata ibu masih mampu dan masih boleh berkata-kata dengan doktor.
Di tengah-tengah perut ibu, ditegakkan kain penghadang agar ibu tidak melihat apa yang dilakukan oleh doktor berkenaan terhadap perut ibu. Ibu cuma merasa seolah-olah dilumurkan ubat air dan terasa seperti dilukis dan ditoreh di perut ibu, tapi tidak terasa sebarang kesakitan. Badan ibu terasa bergoyang ke kiri dan ke kanan, mungkin doktor sedang mengeluarkan irfan ibarat seperti mekanik sedang membaiki kereta.
Akhirnya terdengar suara bayi menangis dengan perlahan dan doktor lelaki itu menunjukkan seorang bayi lelaki yang agak besar dan sihat. Kulitnya kemerah-merahan seperti udang dibakar. Hidungnya agak kembang. Berat badannya hampir 3.61 kg. Patutlah saiz perut ibu besar semasa mengandungkan Irfan. Syukur ibu ke hadrat Allah s.w.t kerana semuanya selamat.

Anakku Yang Kedua Muhammad Irfan