ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Ahad, 30 Mei 2010

TIDAK MAHU JADI SEPERTI FARID!

Aku teringat ada satu drama tv di tv3 yang telah aku tonton bersama anak-anakku yang mengisahkan dua orang adik beradik yang  bernama Abdullah dan adiknya Farid.  Abangnya Abdullah terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur kerana adiknya Farid telah pergi bekerja di bandar.  Abdullah telah berhenti kerja di Kuala Lumpur adalah kerana  semata-mata untuk menjaga ibunya yang sudah tua di kampung.  Abdullah bekerja di kilang kayu arang yang sama bersama ibunya.  Semasa bekerja di kilang itu, seorang gadis telah jatuh hati kepada Abdullah kerana kerajinan Abdullah dan sikapnya yang tidak membuang masa seperti pemuda lain.  Abdullah rupa-rupanya juga tidak bertepuk sebelah tangan.  Setiap bulan gajinya diserahkan kepada ibunya dengan mengharapkan apabila wang simpanannya telah cukup bolehlah ibunya masuk meminang si gadis tersebut.  Perhubungan kedua-duanya juga direstui kedua-dua belah pihak.

Berbalik kisah adiknya Farid yang telah bekerja di bandar, beliau telah berkenalan dengan seorang gadis yang bekerja sebagai pelayan kelab malam yang kebetulan bekas kawan abangnya Abdullah.  Gadis ini pernah menaruh hati terhadap abangnya Abdullah tetapi cintanya telah ditolak oleh Abdullah.  Apabila gadis itu tahu Farid adalah adik kepada abangnya Abdullah, gadis itu mula merancang bagaimana untuk mendekatkan dirinya kepada Abdullah semula.  Dia memberitahu Farid yang dirinya sedang dicari oleh Along kerana telah meminjam wang.  Bagi mengelakkan gadis itu dari dikesan oleh orang-orang  Along dan juga demi keselamatan gadis tersebut, Farid telah membawa gadis itu ke kampungnya.  Berbagai cara si gadis ini cuba untuk menggoda Abdullah malangnya tidak berjaya.  Farid yang sememangnya telah terpesona kepada kecantikan si gadis itu, ahirnya Farid telah berjaya mengahwini gadis tersebut. 

Sejak dari itu bermulalah pelbagai kisah yang lebih tragis apabila isteri Farid merayu ingin membeli barang perhiasan, Farid yang terlalu sayang akan isterinya sanggup meminjam wang dari ibunya.  Ibunya pula terpujuk akan pujuk rayu Farid telah memberikan wang simpanan abangnya Abdullah kepada Farid.  Apabila tarikh perkahwinan Abdullah hampir tiba, Ibunya pergi ke bandar meminta wang itu daripada Farid.  Malangnya dengan muka selamba, Farid mengatakan dia tidak mempunyai duit.  Puas ibunya merayu tetapi sebaliknya Farid menempelak ibunya semula.  Pulanglah ibunya dengan perasaan sedih dan kesal kerana telah memberikan wang simpanan Abdullah.  Bagi menggantikan semula wang tersebut, ibunya telah bekerja sehingga larut malam di kilang tersebut dan juga membuat berbagai pekerjaan sehinggalah kesihatannya semakin teruk.  Akhirnya Abdullah tahu tentang tentang wang simpanannya telah diberikan kepada Farid oleh ibunya.

Dalam pada itu isteri Farid cuba menghasut suaminya dengan mengatakan tanah tapak rumah ibu Farid mungkin akan diambil oleh abangnya Abdullah setelah berkahwin nanti.  Apabila mendengar cerita itu, Farid terus pulang ke kampungnya dan pergaduhan mula berlaku.  Maka berlakulah pergelutan antara Farid dengan Abdullah.  Kerana terlampau cemburu dan fikirannya tidak boleh dikawal lagi, Farid terus mengambil sebatang besi dan cuba menikam abangnya Abdullah.  Apabila ibu mereka melihat keadaan itu, ia terus menolak anaknya Abdullah malangnya besi itu pula yang menosok ke perutnya. 

Apabila melihat keadaan itu isteri Farid ketawa sepuas-puasnya kerana dendamnya telah terlaksana.  Farid bingung melihat isterinya yang dikahwininya selama ini rupa-rupanya hanya ingin membalas dendam terhadap keluarganya.  Dia terus menghalau isterinya sambil menangis dan memeluk ibunya yang sedang luka parah.  Semasa ibunya sedang nazak, sempat juga ibunya memberitahu bahawa dia sayang akan kedua-dua anaknya dan tidak membezakan kasih sayangnya.  Aku menangis apabila melihat adegan itu sehingga  tidak sedar mataku kelihatan bengkak kerana terlalu banyak mengeluarkan air mata. Rupa-rupanya kedua-dua anakku juga terkedu dan sedih melihat adegan tersebut.  Mungkin mereka berfikir sampai hati seorang anak boleh membunuh ibu yang melahirkan mereka.

Apabila anakku Irfan bertanya kepadaku kenapa Farid membunuh ibunya.  Aku mengatakan kerana Farid bergaduh dengan abangnya kerana berebutkan harta.  Sambil itu aku mengatakan kepada anak-anakku kerana pergaduhan begitu menyebabkan ibu mereka mati. "Nak gaduh dengan abang lagi tak?" tanyaku kepada mereka dengan nada yang masih sedih kepada anakku Irfan .  Aku menyambung lagi "Nanti bila ibu sudah tua, Ibu sudah tidak larat lagi nak leraikan pergaduhan antara Irfan dengan Idzham, jika anak-anak ibu bergaduh ".   "Kami tak nak bergaduh lagi ibu" kata mereka berdua. Kedua-dua anakku menangis sambil memelukku.  Air mata kami jatuh ke lantai dan kami bertiga berpelukan.  Aku memegang tangan kedua-dua anak-anakku.  Aku juga sayangkan anak-anakku berdua...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan