ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Isnin, 25 Oktober 2010

TAUBAT NASUHA

Aku telah menonton sebuah drama yang paling menyayat hatiku yang bertajuk Taubat Nasuha pada malam 25 Oktober 2010. Drama tersebut dibintangi oleh Fauzi Nawawi dan Syila Rusly serta dibantu oleh Datuk Jalaluddin Hassan dan 3 orang kanak-kanak yang comel dan cerdik. Drama itu ditayangkan semula untuk pertandingan drama bagi Anugerah Skrin tahun 2010.
Cerita itu mengisahkan seorang lelaki juga seorang ayah yang mengalami sakit jiwa kerana kisah silamnya yang selalu dipukul oleh ayahnya semasa ia masih kecil. Akhirnya budak itu pun dewasa dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak yang begitu aktif, periang, lincah dan cerdik. Setiap kali anak-anaknya membuat bising beliau akan mengherdik anak-anaknya sambil mengatakan anaknya bersikap tidak seperti anak-anak lain. Tidak boleh terlihat olehnya sebarang kesalahan anaknya semuanya menjadi isu untuk ia memarahi anaknya. Walhal sememangnya anak-anak semua bersikap demikian.
Sikap isterinya yang taat, takut kepada suaminya dan sering menasihati anak-anaknya supaya jangan membuat nakal dan bising adalah untuk mengelakkan anak-anaknya supaya tidak dipukul atau diherdik oleh suaminya.
Suatu episod yang mengisahkan anak-anaknya berlari turun dari tangga menyambut kepulangan ayahnya kerana ingin memberitahu ayahnya yang mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi sebaliknya mereka mendapat herdikan dan sumpah seranah atas alasan yang mereka membuat bising dan menyebabkan ia terkejut semasa anaknya mengdekatinya.

Semasa cuti sekolah, mereka pulang ke kampung berjumpa dengan datuknya, iaitu ayah kepada ibu mereka. Di sana mereka sangat gembira dan sering mendengar cerita tentang Rasulullah s.a.w. Terlopong ketiga-tiga adik beradik itu apabila mendengar cerita datuknya. Akhirnya cuti sekolah telah pun berakhir dan dengan perasaan berat hati mereka pulang semua ke rumah mereka.

Di suatu pagi, anak-anaknya bergaduh semasa mengambil sarapan untuk pergi ke sekolah. Apabila dilihat oleh ayahnya sikap anak-anaknya itu, perasaan marahnya timbul lalu menarik rambut kedua-dua anaknya dan menolaknya ke bawah meja. Semasa di bawah meja si abang memberi isyarat kepada adiknya supaya diam dan jangan menangis agar tidak dipukul lagi oleh ayahnya. Ibu mereka cepat-cepat menyuruh mereka mengambil beg sekolah dan mereka pun bersalaman dengan ayah mereka walaupun air mata masih lagi mengalir keluar. Apabila waktu tengahari, ibu mereka pun keluar untuk mengambil anaknya dari sekolah. Sebelum mengambil anaknya di sekolah, ia singgah sejejap pergi ke bank untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaannya. Rupanya ada dua orang hamblau telah mengikuti mereka pulang ke rumah. Belum sempat mereka masuk ke rumah, kesemua mereka diheret keluar dari kereta dan ditarik masuk ke dalam rumah. Di sini berlaku kisah yang amat tragis di mana kesemua anak-anaknya dibunuh dan akhir sekali ibunya pun dibunuh kerana tidak dapat menghubungi suaminya yang sedang leka bersukaria dengan rakan pejabat.

Aku hubungkan dengan sikapnya yang begitu cepat naik angin terhadap anak-anakku semenjak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku. Segala keperluan mereka ku lakukan seorang diri. Setiap pagi aku sediakan sarapan, apabila pergi ke sekolah agama, kami terpaksa bawa beg sekolah agama dan kebangsaan kerana anakku transit di sekolah agama. Apabila petang pula ada sahaja barang mereka yang hilang samada baju sekolah agama, bekal air, songkok. Sebelum aku beredar pulang, aku terpaksa periksa dahulu di tempat transit mereka, semua barangan mereka cukup baru aku boleh beredar pulang ke rumah. Jika petang itu ada barang mereka yang hilang, panas baran aku mula timbul. Sebelah malam pula terpaksa memasak, mengemas rumah, membasuh kain, menggosok baju sekolah untuk hari berikutnya. Akhirnya aku menjadi stress dan cepat naik angin. kadang kala aku memukul mereka dengan penyakut baju apabila mereka tidak mengendahkan suruhanku. Aku menjadi pemarah dan sering menengking mereka jika mereka tidak mengikut arahanku.

Apabila aku menonton drama itu, aku betul-betul tersentuh hati. Aku menangis sehingga bengkak mataku. Aku peluk anak-anakku yang juga turut bersedih melihat drama itu. Aku tidak mahu kehilangan anak-anakku dan memikir kembali apa akan berlaku jika anakku diambil semula oleh yang amat berkuasa. Malam itu sebelum anak-anakku tidur, aku peluk mereka dan air mataku tertumpah lagi mengenangkan drama yang menyayat hatiku. Aku mohon agar semua iatu tidak berlaku kepadaku. Ya Allah berikan aku kekuatan semasa aku mendidik dan membesarkan anak-anakku...Ya Allah ya Tuhanku selamatkan anak-anakku semasa mereka bersekolah ketika aku sedang bekerja mencari rezeki dalam meneruskan hidup ini.....Jauhkan kami dari bala bencana dunia dan akhirat. Aku amat memohon pertolonganmu Ya Allah...Amin Ya Robbal 'alamin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan