ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Rabu, 2 Oktober 2013

Dadanya Berbunyi lagi...

Sejak akhir-akhir ini, Irfan asyik tidak hadir ke sekolah kerana tidak sihat.  Kejap-kejap dada Irfan berbunyi.  Apabila ibu dengar bunyi di dalam dada Irfan, Ibu rasa amat susah hati.   Walau penat dan sibuk mana sekalipun ibu akan tetap membawa Irfan ke klinik untuk mengambil gas tidak kira siang ataupun malam.  Pernah klinik telah ditutup memandangkan waktu itu sudah pukul 12.00 malam, maka terpaksalah ibu bawa Irfan ke Hospital Kajang.  Doktor telah memberikan gas kepada Irfan tetapi bertanyakan pelbagai soalan punca-punca bagaimana boleh belaku kerana Irfan tidak pernah datang ke hospital tersebut.   

Baru-baru ini ibu sedang menyemak laporan kedatangan ibu  pada bulan Julai 2013.  Tiba-tiba ibu terpandangkan tarikh 24/7/2013 dan 25/7/2013, bos ibu tidak meluluskan ibu keluar pergi ke klinik kerana membawa Irfan mengambil gas semput.  Hairan bin ajaib pula rasanya tindakan bos ibu itu.  Selalunya bos ibu tidak macam itu, Ia seorang yang amat bertimbang rasa,  Adakah dia tersalah tekan butang ataupun dia telah mendengar ceirita ibu yang tidak elok dari seseorang, tidaklah ibu ketahui.  

Lantas ibu pun menyemak dan mengingati semula apa yang telah berlaku pada bulan Julai. Ibu juga menyemak dalam fail gung yu untuk melihat jika ada time slip yang diberikan oleh doktor. Dalam fail gungyu pun tidak ada.  Mungkin ibu tidak minta time slip kerana ibu terus isi butiran terus balik kerana ibu keluar pejabat pun sudah jam 4.20 petang.  Lantas ibu terus mencari nombor telefon Klinik Kita di Cheras Perdana dan memaklumkan ibu perlukan time slip untuk membuktikan kepada bos ibu yang ibu benar-benar ke klinik dan bukan memonteng kerja.  Ibu bukanlah kaki ponteng seperti orang lain yang tidak ada di tempat sampai 1 -2 jam lamanya. Baru ibu ingat, pada tarikh 23/7/2013 memang ibu telah membawa Irfan ke klinik kerana semput.  Kemudian Dr. Salmi Manja  di Klinik Kita, Cheras Perdana, telah menyuruh ibu membawa Irfan sekali lagi mengambil gas pada hari yang sama pada sebelah petang. Memandangkan pada hari itu, hari bekerja terpaksalah ibu mengambil cuti kecemasan. Semasa  Irfan mengambil gas pada waktu petang, sekali lagi doktor memeriksan kondisi Irfan lantas doktor memaklumkan kepada ibu, Irfan perlu dibawa sekali lagi pada sebelah petang keesokan harinya  dan hari berikutnya.  Maka ibu pun merancang untuk pergi kerja dan akan balik awal untuk membawa irfan ke klinik sekali lagi di sebelah petang.

Seingat ibu, pada hari itu ibu bawa Irfan ke pejabat agar mudah untuk ibu membawa ke klinik petang itu. Tepat jam 4.20 petang ibu pun balik awal dengan mengisi butiran keluar di laman e-cuti.  Cepat-cepat ibu memandu menuju ke klinik agar irfan dapat mengambil gas semput seperti yang telah disarankan oleh doktor. Begitu juga pada hari berikutnya.  Memandangkan bos ibu sibuk, mungkin dia baru semak dan meluluskan segala cuti dan keluar masuk stafnya. Tetapi ibu menjadi hairan bila dia tidak meluluskan permohonan keluar awal ibu itu.  Ibu bertekad akan berjumpa dengan bos ibu dan akan bertanya adakah dia tersilap atau sememangnya dia benar-benar bertujuan tidak meluluskan permohonan keluar pejabat ibu itu. 






Nota

Ibu baru sahaja berjumpa dengan bos ibu, dan bertanyakan kenapa beliau tidak meluluskan keluar pejabat ibu pada tarikh tersebut.  Ibu sertakankan bukti-bukti tersebut.  Lantas bos ibu mengatakan ia tidak pernah tidak meluluskan permohonan ibu ke luar pejabat.   Ia beranggapan kemungkinan sistem e-cuti itu ada masalah teknikal.  Ibu terus memberitahunya, ibu akan memaklumkan kepada Bahagian Sistem Maklumat dan akan menyuruh mereka membetulkan semula status tersebut.  Jika tidak dibetulkan sekarang, ibu takut satu hari nanti akan berlaku perkara yang tidak diingini.  Terima kasih Ya Allah, kerana engkau telah mempermudahkan tugasku ini hari ini.   Amin.

Isnin, 18 Februari 2013

Kadet Sekolah

Setiap petang balik dari sekolah, Irfan sering bertanya kepadaku bila hendak membeli pakaian kadet sekolahnya. Aku memberitahunya  akan membelinya pada  hari cuti di hujung minggu, kerana kedai tersebut terletak di Taman Impian Balakong, sahaja. Akhirnya pada hari Sabtu bertarikh 17 Februari 2013, aku telah mengajak anak-anakku keluar. Sibuk anak-anakku bertanya aku hendak pergi ke mana. Aku memaklumkan untuk pergi makan roti canai, kemudian pergi bank dan bermacam-macam lagi urusan yang perlu dibereskan semasa cuti hujung minggu.
 
Setelah selesai kami  bersarapan di sebuah restoran di Lake View, Bandar Tun Hussain Onn, aku terus pulang semula ke Taman Impian menuju ke kedai yang menjual pelbagai uniform. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan baju T-shirt serta seluar  kadet sekolah untuk anakku Irfan. Jurujual tersebut menunjukkan uniform kadet sekolah kepadaku. Semasa membelek-belek seluar kadet itu,  sempat juga aku menjeling  tag harga yang tergantung pada seluar tersebut. Terbeliak jugalah mataku kerana harganya RM44.00 sepasang. T-Shirt pula harganya RM19.90. Tetapi, malangnya tiada  pula saiz T-shirt untuk Irfan kerana saiz yang paling besar cuma 34 sahaja.  Aku hanya membeli seluar, topi kadet serta lencananya yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM62.00.
 
Memandangkan T-shirt kadet adalah satu keperluan, terpaksalah aku pergi mencari di Pekan Sungai Besi kerana aku pernah membeli uniform pengakap untuk anak sulungku Idzham. Selsai sahaja aku membayar harga pakaian tersebut, kami terus menaiki kereta menuju ke pekan Sungai Besi. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan T-shirt untuk kadet sekolah. Alhamdulillah akhirnya ada juga saiz 36 untuk anakku Irfan. Jam menunjukkan pukul 1.30 petang, perutku terasa lapar kerana sarapan tadi hanya roti canai sahaja. Aku mengajak anak-anakku makan di kedai makan di pekan Sungai Besi. Tapi, kedua-duanya mengelengkan kepala.  Sememangnya kedua-dua anakku itu susah untuk diajak makan, berbeza kalau dengan anak-anak orang lain...pernah kawan-kawanku bercerita anak-anak mereka pantang diajak untuk pergi makan....Maka terpaksalah aku pulang ke rumah kerana semuanya telah selesai diuruskan. Nasib baik sempat juga aku telah membeli gulai kari kambing di sebelah kedai pakaian di Taman Impian tadi.
 
Sampai sahaja di rumah, aku terus memasak nasi, kemudian menggoreng telur, dan memanaskan sayur semalam yang aku simpan di peti sejuk.  Semasa pagi itu,  sempat juga aku memanaskan ikan patin masak tempoyak sebelum keluar rumah. Ikan patin tersebut telah diberi oleh seorang rakan sepejabatku yang membelinya di bandar Temerluh. Aku memang suka kalau ikan patin dari Temerluh, kerana ikan patin tersebut dibela di dalam sungai dan bukan di dalam kolam. Sebab itulah daging ikan patin yang dibela di sungai tidak berlemak dan berminyak. Selepas kami makan nasi tengah hari itu, aku menyuruh Irfan memakai semua pakaian kadet yang dibeli tadi. Apabila aku melihat Irfan memakai pakaiat kadet dengan lengkap, aku pun mengambil gambar kenang-kenangan.  Di dalam hatiku berkata "Hmmm...hensem juga anakku Irfan....."




Tambah Gagah Irfan memegang senjata

 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 


Rabu, 6 Februari 2013

IBU! INI SIPUT APA?

Tahun ini Irfan naik darjah 4 dan diletakkan di kelas 4 Gemilang, dan sudah semestinya umur Irfan juga meningkat kepada 10 tahun pada tarikh 31 Januari 2013 nanti. Balik sahaja dari sekolah, Irfan memberitahuku yang dia tidak dilantik menjadi pengawas yang menjadi impiannya selama ini. Seperti biasa, ibu akan memberi kata semangat kepada Irfan dan menyuruhnya belajar bersungguh-sungguh kerana yang paling penting sekali ialah keputusan peperiksaan. Menjadi pengawas ini, perlukan kerja tambahan seperti memantau kawan-kawan yang lain untuk mengikut peraturan yang ditetapkan oleh sekolah katakku lagi
.
Pada 17 Januari 2013 ibu telah pergi ke sekolah Irfan untuk mengambil wang bantuan kerajaan sebanyak RM100.00. Sempat juga ibu berjumpa guru kelas Irfan yang comel orangnya bernama Suriati. Irfan yang duduk di barisan hadapan sebelah kanan sekali di tepi tingkat tersenyum-senyum melihatku datang. Mungkin dia berasa bangga dan seolah-olah ingin memaklumkan kepada kawan-kawannya inilah ibunya. Setelah aku diberi wang tersebut, aku berjalan ke arah pintu dan sempat juga Irran memberi salam kepadaku "Assalamualaikum ibu". Aku memandang sambil tersenyum kepadanya dan menjawab "Waalaikum Salam".

Seperti biasa, setiap petang aku akan mengambil anak-anak disekolah agama. Di suatu petang, setelah anak-anakku masuk ke dalam kereta dan selesai aku memasukkan semua beg sekolah ke dalam kereta, tiba-tiba Irfan berkata, "Ibu, berdosa tak kalau ustazah panggil saya babi". Aku yang dalam keadaan tengah panas dan letih kerana memandu kereta dari pejabat dalam keadaan tegesa-gesa agar sampai di sekolah sebelum 6.30 petang terus memandang Irfan sambil menjengkilkan mataku ke arahnya "Irfan ni merepek ke?" "Betul Ibu, ustazah tu tanya siapa nama pengawas yang duduk di hujung tepi tingkap itu? Kemudian ustazah itu datang ke arah saya dan berkata yang saya tak layak jadi pengawas, tetapi layak sebagai pengawas mulut murai" Lantas aku bertanya lagi "Apa yang adik sudah buat, sampai ustazah cakap macam itu?"

Memandangkan aku ingin pulang segera kerana waktu maghrib akan menjelma di samping aku hendak menyiapkan makan malam lagi, aku tidak ambil kisah perkara itu. Semasa makan malam, sempat aku bertanya kepada Irfan semula apa sebenarnya cerita tadi. Irfan pun menceritakan semula apa yang telah terjadi. Puncanya ialah semasa ustazahnya sedang menerangkan tentang jenis-jenis najis, kawannya Daniel yang duduk di sebelahnya telah bertanya kepadanya apa maksud ustazah itu kerana ia bukan muslim. Memandangkan irfan pernah belajar jenis-jenis najis di sekolah agama, dia pun menerangkan serba sedikit kepada kawannya. Tetapi ustazahnya panas hati apabila melihat Irfan sedang berbual-bual semasa ia sedang mengajar.

Kemudian ustazahnya bercerita kepada murid-muridnya tentang seorang budak yang asyik bertanya kepada ibunya. Budak itu bertanya "Siput apakah itu Ibu?". Ibu itu menjawab "Sipub Babi" Anaknya bertanya lagi soalan yang sama sehingga maenyebabkan si Ibu geram dan menjawab "Siputlah Babi". Kemudian ustazah itu berkata lagi kepada anakku irfan "Diam!". Ustazah itu berkata lagi berkali-kali "Diam, Diam, Diamlah Babi".


Mula-mula ia bercerita dengan penuh semangat, selepas itu aku nampak Irfan cuba menutup mukanya dengan tangannya agar aku tidak melihat dia sedang bersedih. Tiba-tiba sambil bercerita, air matanya bercucuran jatuh ke pipi. Hatiku berasa belas melihatnya, kerana Irfan selama ini merupakan anak yang kental hatinya. Tapi kali ini hatinya begitu tersentuh apabila ustazah memanggilnya babi. Irfan memberitahu kepadaku dia berasa malu dengan kawan-kawannya atas apa yang telah berlaku kepada dirinya. Yang menjadi pelik dan hairan kepadaku, setiap kali aku mengambil buku laporan kemajuan anakku sama ada di sekolah agama atau di sekolah kebangsaan, guru kelasnya sering memaklumkan kepadaku yang irfan seorang yang pendiam.

Aku terus bertanya kepada Irfan, apakah nama ustazahnya. Malangnya Irfan tidak tahu pula nama ustazahnya. Selesai sahaja kami makan malam, aku terus membuka facebookk dan menulis coretan tentang anak-anakku untuk melepaskan geramku. Banyak juga respon yang aku peroleh dari kawan-kawan dan saudara-mara. Tapi suamiku tidak menyukai tindakanku, kerana adalah lebih baik berjumpa ustazah tersebut daripada membuat hebahan. Aku pula berpendapat jika berjumpa dengan ustazah pun tidak menyelesaikan masalah, silap-silap Irfan pula akan menjadi mangsanya lagi....