ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Ahad, 11 April 2010

Allah hu Akbar!

Anakku Muhammad Irfan adalah anakku yang kedua. Dilahirkan pada 31 Januari 2003. Umurnya baru tujuh tahun. Tingginya lebih kurang sama dengan abangnya Muhammad Idzham yang berumur 9 tahun. Semasa dilahirkan pun memang agak besar, beratnya semasa dilahirkan 3.61 kg. Patutlah semasa aku mengandung ketika itu, saiz perut aku ni besar semacam. Asyik nak makan saja. Lebih-lebih lagi jika ada pasar malam di kawasan perumahanku, ada jualan nasi lemak kukus sambal sotong. Aduh sedapnya...

Kulitnya putih kuning. Mulutnya pun boleh tahan becoknya. Entahlah! tidak tahulah siapa yang dia ikut...akukah? atau suamikukah? Tapi aku ni tidaklah becok sangat...ada masanya aku lebih suka mendiamkan diri daripada bercakap benda-benda yang tidak berfaedah. lagi banyak bercakap lagi banyak kesalahan yang akan kita buat. Prinsip itu memang aku ingat betul. Ayahnya pula memang suka bercerita...tapi tidaklah sebecok mulut anakku...Tapi bila depan ayahnya, sebaliknya. Bila ayahnya tanya satu, jawabnya pun satu. Kalau tak jawab senyum saja. Ayahnya pun garang semacam. Kadang kala pula baik sangat.
Suatu hari, aku dan anak-anakku balik dari membeli-belah. Rumahku pula di tingkat 3. Lift tiada sebab pangsapuri rumahku hanya 4 tingkat sahaja. Tidak perlu diadakan lift. Setelah aku meletak kereta di  ruangan tempat letak kereta aku pun bersuara.

Ibu: "Idzham dan Irfan kena tolong ibu tau..Banyak barang nak bawa ni. Bahu ibu ini sakit. Tidak boleh bawa banyak barang".

Kebetulan pula di masa itu, ayahnya tiada. Cuma aku dan anak-anakku saja. Sememangnya bahuku ini selalu sakit, seolah-olah tulang sendi di bahuku berseliseh atau mungkin terkeluar sedikit. Sudah puas aku berurut, tapi kesannya sekejap saja, lepas itu sakit balik. Tidak boleh lasak-lasak sangat. Tapi bila masa tengah rajin pada hari itu lupa aku ini sakit. Bila sudah petang baru terasa sakit dan berdenyut-denyut bahuku. Masa itu barulah aku mula mencari minyak urut, dan ku urut sendiri bahuku agar dapat mengurangkan kesakitannya.

Yang menggelikan hatiku ialah perkataan yang terkeluar dari mulut anakku Irfan. Yang pertama hanya diam dan akur kerana tahu ibunya sakit bahu.

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : "Bawa mana yang boleh. Kitakan sama-sama letih".

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : "Dah sampai di atas nanti, bolehlah kita minum Yogurt yang kita beli tu."

Irfan : "Allah hu Akbar!..."

Ibu : " Yang Irfan ni asyik cakap Allah hu Akbar ni kenapa? Ingat ibu cakap main-main ke?" Naik angin pula aku seketika, dah penat shopping, badan pun dah letih.

Irfan : "Ibu, Irfan nak ikut macam kawan Irfan. Nama dia Amir Aziq. Dia selalu cakap macam tu"

Ibu : "Iyalah, tapi tak payahlah asyik cakap Allah hu Akbar saja. Lebih elok dan sopan cakap baik ibu, kan itu lebih baik.

Irfan pernah bercerita denganku, guru kelasnya telah memberitahu setiap murid markah yang mereka peroleh bagi bulan Mac 2010. Bila sampai kepada Amir Aziq, gurunya pun memberitahu markahnya 29%. Terus Amir Aziq pun bersuara "Allah hu Akbar". Mungkin gurunya tahu perangai Amir Aziq kot....Tetapi markahnya yang sebenar ialah 92%, saja gurunya nak mengusik anak-nak muridnya yang pelbagai keletah...

Anakku Irfan dengan kawannya Amir Aziq bersekolah di kelas yang sama iaitu 1 Gemilang di Sekolah Rendah Taming Jaya, Balakong. Tetapi setelah diadakan peperiksaan bulanan anakku telah bertukar di 1 wawasan dan Amir Aziq pula mungkin di 1 rajin (kalau tidak silap). Amir Aziq pula memang dalam kategori raut mukanya manis dan badan agak berisi.  Terselah giginya yang putih bersih bila tersenyum.  Bila besar nanti mesti ramai peminat.


Itu baru umur tujuh tahun. Budak-budak sekarang ini tidak tahu takut. Cuma kita perlu bimbing agar jangan keterlaluan dan kurang ajar kepada yang lebih tua. Tapi bila teringat balik keletah anakku Irfan aku senyum sorang-sorang.  Hai.Irfan...Irfan....