Sejak akhir-akhir ini Irfan selalu mengidap penyakit semput. Badannya semakin susut. Sebelum ini memang ia mempunyai penyakit semput tetapi tidak seburuk ini. Aku perasan sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku lagi, maka terpaksalah aku menghantar anak aku ke rumah ibu tiriku, rumah maduku dan kadangkala aku membawa mereka ke pejabat. Anak aku suka bermain permainan di komputer, menyebabkan kawan-kawan di sekelilingku rasa terganggu.. Terpaksalah aku selalu menghantar mereka ke rumah ibu tiri mereka. Aku hanya bertawakal kepada Allah atas keselamatan mereka.
Pada mulanya irfan batu-batuk kecil. Lama kelamaan ia menjadi batuk yang berpanjangan hingga menyebabkan anakku sukar bernafas. Terasa pelik juga di hatiku mengapa anakku batuk sedemikian rupa. Aku membawa anakku ke Klinik Kita. Doktor Salmi yang merawatnya menyuruhku membawa anakku mengambil gas sebanyak 3 kali sehari selama dua hari berturut-turut. Kerana kejahilanku, aku hanya membawanya sehari sahaja kerana tidak mahu banyak gas yang masuk ke dalam tubuh anakku. Lama kelamaan batuk anakku semakin teruk. Yang menyedihkan aku dia tidak pandai untuk mengeluarkan lendir di dalam dadanya. Aku selalu menjerit kepadanya keluarkan..keluarkan lendir tu..semasa ia sedang batuk. Rupa-rupanya ia menjadi berang kepadaku dan mengatakan ia sakit dada dan pening kepala mendengar leteranku. Aku terpaku dan terfikir sejenak apakah tindakan aku itu betul dengan menyuruhnya untuk mengeluarkan lendir di dadanya sedangkan ia tidak begitu pandai untuk melakukkannnya.
Sekali lagi aku membawa anakku ke Klinik Kita. Semasa sedang menunggu aku mengharapkan agar doktor lain yang merawat anakku kerana aku malu kepada Dr. Salmi yang tidak mengikut nasihatnya agar membawa anakku ke klinik untuk mengambil gas untuk dua hari. Tetapi nomborku yang terpapar di atas nombor giliran di bilik Dr. Salmi. Semasa Dr. Salmi memeriksa dada Irfan, ia terus menyuruh jururawat menyediakan gas untuk anakku. Aku menjelaskan kepada Dr. Salmi beliau tidak semput kerana dadanya tidak berbunyi, tetapi beliau memaklumkan batuk anakku itu adalah batuk semput. Kesian anakku kerana kebodohan dan ketidakprihatinanku terhadap kesihatannya. Tetapi batuk anakku masih juga tidak berkurangan.
Pada malam itu, Irfan mengadu badannya panas. Aku memberikannya ubat demam yang sememangnya aku simpan jika berlaku kecemasan. Pada tengah malam dada irfan berbunyi. Bunyi di dadanya semakin kuat apabila ia batuk-batuk. Aku sudah kehilangan akal dan upaya bagaimana untuk mengubati anakku. Akhir sekali aku meminta suamiku membawa anakku ke Pusrawi Kajang, kerana Klinik Kita pun sudah pun tutup kerana ketika itu jam 12.30 malam. Aku tidak dapat menemani Irfan dan suamiku, kerana Idzham anakku yang sulung sedang tidur. Semasa suamiku membawa Irfan untuk mendapatkan rawatan, aku baring di sebelah anakku Idzham sambil memeluknya dan berdoa kepada Allah agar anakku Irfan cepat sembuh. Air mataku mengalir deras bila memikirkan Irfan yang tidak sihat itu. Sambil maenunggu suami dan anakku pulang, aku melipat kain baju yang sudah kering di penyidai.
Apabila anakku Irfan pulang ia nampak begitu ceria dan sibuk bercerita kepadaku yang aku sendiri tidak ingat apa yang diperkatakan kepadaku. Aku menyuruh Irfan tidur denganku kerana suamiku akan tidur di rumah isterinya yang pertama. Suamiku memberiku surat dari doktor untuk membawa anakku ke Hospital Serdang, kerana sebelum ini aku pernah mencadangkan kepada suamiku agar membawa Irfan ke Hospital Serdang untuk mengetahui apakah penyakitnya yang sebenar kerana badannya yang semakin kurus, asyik deman dan sekarang pula batuk yang berpanjangan.
Jam 6 pagi aku terjaga dari tidur dan aku masih lagi terdengar bunyi di dada anakku. Badannya panas apabila aku meletakkan tanganku di lehernya. Selepas aku mandi dan sembahyang subuh aku terus dekati anakku, dadanya masih berbunyi dan kali ini agak kuat sedikit. Aku terus telefon suamiku agar dapat membawa anakku ke Hospital Serdang. Suamiku menyuruhku bersabar kerana ia hendak pergi ke pejabat dahulu. Aku terus melenting dan berkata supaya ia menghantarku sahaja dan aku akan menguruskan sendiri anakku semasa di Hospital Serdang nanti. Kadang kala aku berasa hairan kerana suamiku masih boleh memikirkan tentang kerja walaupun anaknya sedang sakit. Akhirnya ia akur dan membawaku dan Irfan ke Hospital Serdang.
Selepas sembahyang maghrib |
Sampai di sana, suamiku mengarahkan aku pergi ke doktor pakar kanak-kanak. Rupa-rupanyanya aku hanya boleh membuat temujanji dahulu. Aku memaklumkan kepada jururawat bertugas anakku sedang semput, ia cuma mengarahkan aku pergi ke tempat kecemasan. Untuk pergi ke sana mengambil masa 20 minit juga kerana tempatnya agak jauh. Anakku masih lagi ceria walaupun nampak ia agak tercungap-cungap kerana terpaksa berjalan ke tempat tersebut. Sampai sahaja di sana petugas tersebut mengarahkan aku masuk bersama anakku untuk mengambil gas. Suamiku tunggu di ruangan menunggu.
Doktor yang bertugas disitu memeriksa dadanya dan berkata kepadaku adakah anakku mengambil gas setiap hari. Aku memaklumkan anakku memang mengambil gas bekas warna coklat setiap pagi dan malam, cuma kadang-kadang aku terlepas kerana terlupa. Selepas beliau memeriksa dada anakku, ia mengarahkan petugas memberikan anakku gas. Beliau memaklumkan kepadaku, anakku perlu mengambil gas bekas coklat setiap hari seperti yang disarankan untuk mengelakkan penyakit semput berlaku dan ia memaklumkan terdapat 2 kes pesakit semput meninggal dunia dalam bulan ini. Sambil menyindir ia berkata anakku masih boleh gelak denganku walaupun dadanya berbunyi dan agak teruk juga.
Selepas pengambilan gas, anakku diarahkan mengambil X-ray. Setelah mendapat keputusan, doktor menerangkan kepadaku paru-paru anakku panjang sedikit kerana selalu bernafas tercungap-cungap. Kecut juga di hatiku mendengar penerangannya. Di dalam hati, aku berjanji akan memastikan Irfan akan mengambil gas tersebut setiap hari. Akhir sekali, anakku diberi pil sebanyak 22 biji untuk dimakan mengikut sukatan yang diberikan. Alhamdulillah sehingga hari ini aku menulis anakku sihat walafiat dan aku masih lagi memantau kesihatannya agar tidak lagi menjadi lebih teruk...Amin...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan