Setiap petang balik dari sekolah, Irfan sering bertanya kepadaku bila hendak membeli pakaian kadet sekolahnya. Aku memberitahunya akan membelinya pada hari cuti di hujung minggu, kerana kedai tersebut terletak di Taman Impian Balakong, sahaja. Akhirnya pada hari Sabtu bertarikh 17 Februari 2013, aku telah mengajak anak-anakku keluar. Sibuk anak-anakku bertanya aku hendak pergi ke mana. Aku memaklumkan untuk pergi makan roti canai, kemudian pergi bank dan bermacam-macam lagi urusan yang perlu dibereskan semasa cuti hujung minggu.
Setelah selesai kami bersarapan di sebuah restoran di Lake View, Bandar Tun Hussain Onn, aku terus pulang semula ke Taman Impian menuju ke kedai yang menjual pelbagai uniform. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan baju T-shirt serta seluar kadet sekolah untuk anakku Irfan. Jurujual tersebut menunjukkan uniform kadet sekolah kepadaku. Semasa membelek-belek seluar kadet itu, sempat juga aku menjeling tag harga yang tergantung pada seluar tersebut. Terbeliak jugalah mataku kerana harganya RM44.00 sepasang. T-Shirt pula harganya RM19.90. Tetapi, malangnya tiada pula saiz T-shirt untuk Irfan kerana saiz yang paling besar cuma 34 sahaja. Aku hanya membeli seluar, topi kadet serta lencananya yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM62.00.
Memandangkan T-shirt kadet adalah satu keperluan, terpaksalah aku pergi mencari di Pekan Sungai Besi kerana aku pernah membeli uniform pengakap untuk anak sulungku Idzham. Selsai sahaja aku membayar harga pakaian tersebut, kami terus menaiki kereta menuju ke pekan Sungai Besi. Sampai sahaja di sana, aku bertanyakan T-shirt untuk kadet sekolah. Alhamdulillah akhirnya ada juga saiz 36 untuk anakku Irfan.
Jam menunjukkan pukul 1.30 petang, perutku terasa lapar kerana sarapan tadi hanya roti canai sahaja. Aku mengajak anak-anakku makan di kedai makan di pekan Sungai Besi. Tapi, kedua-duanya mengelengkan kepala. Sememangnya kedua-dua anakku itu susah untuk diajak makan, berbeza kalau dengan anak-anak orang lain...pernah kawan-kawanku bercerita anak-anak mereka pantang diajak untuk pergi makan....Maka terpaksalah aku pulang ke rumah kerana semuanya telah selesai diuruskan. Nasib baik sempat juga aku telah membeli gulai kari kambing di sebelah kedai pakaian di Taman Impian tadi.
Sampai sahaja di rumah, aku terus memasak nasi, kemudian menggoreng telur, dan memanaskan sayur semalam yang aku simpan di peti sejuk. Semasa pagi itu, sempat juga aku memanaskan ikan patin masak tempoyak sebelum keluar rumah. Ikan patin tersebut telah diberi oleh seorang rakan sepejabatku yang membelinya di bandar Temerluh. Aku memang suka kalau ikan patin dari Temerluh, kerana ikan patin tersebut dibela di dalam sungai dan bukan di dalam kolam. Sebab itulah daging ikan patin yang dibela di sungai tidak berlemak dan berminyak.
Selepas kami makan nasi tengah hari itu, aku menyuruh Irfan memakai semua pakaian kadet yang dibeli tadi. Apabila aku melihat Irfan memakai pakaiat kadet dengan lengkap, aku pun mengambil gambar kenang-kenangan. Di dalam hatiku berkata "Hmmm...hensem juga anakku Irfan....."
Tambah Gagah Irfan memegang senjata |