ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Ahad, 27 Jun 2010

BUAH NAGA MERAH MENYALA.

Pada 5 Jun 2010 suamiku mengajak aku ke bandar Sijangkang, daerah di negeri Selangor untuk diurut oleh seorang tukang urut di sana. Suamiku memanggilnya wak kerana ia orang Jawa. Sendi di pehanya masih sakit lagi walaupun telah diurut oleh beberapa tukang urut yang lain. Puncanya adalah bermula apabila beliau telah mengangkat mayat seorang wanita yang telah meninggal dunia di tepi jalan besar berhadapan dengan Jusco Cheras Selatan di Balakong. Walaupun mayat itu diangkat oleh 4 orang lelaki, tetapi untuk memasukkan mayat tersebut ke dalam kereta kancil agak sukar kerana pintu kereta tersebut kecil, lebih-lebih lagi bila yang mengangkat mayat di sebelah hadapan hanya tinggal seorang sahaja iaitu suamiku. Dengan sepenuh tenaga sebelah kakinya menahan berat mayat tersebut agar tidak jatuh, tiba-tiba beliau terasa ada bunyi di sendi pahanya.

Sejak dari itu, beliau asyik mengadu sakit lebih-lebih lagi apabila beliau hendak bangun atau apabila sedang berjalan laju. Aku pula mungkin menganggapnya sakit biasa kerana beliau tidak bercerita kesakitan itu berpunca kerana mengangkat mayat itu. Setelah beberapa kali mengeluh sakitnya masih lagi tidak pulih akhirnya aku bertanya sejak bila, buat kerja apa sampai sakit begitu dan sebagainya. Akhirnya barulah aku tahu punca berlakunya kesakitan di pehanya. Aku cuba juga mengurut di tempat yang sakit itu, kerana suamiku mengatakan aku pernah mengurut jarinya yang terkehel boleh sembuh. Tapi kudratku tidak sekuat mana untuk mengurutnya dan setelah aku mencubanya beberapa kali namun kesakitanya masih lagi tidak dapat dihilangkan.
Semasa kami sampai di sana, terdapat seorang lelaki yang sedang diurut oleh wak tersebut. Sementara menunggu giliran, aku dimaklumkan oleh suamiku di sebelah rumah wak membuat tempe. Aku lihat ada dua orang wanita sedang membungkus tempe tersebut. Lantas aku pun menuju ke rumah sebelah dan memberi salam kepada mereka. Membusut tinggi kacang soya yang telah diproses untuk dijadikan tempe, hanya tinggal untuk kerja membungkus pula. Aku pun membeli tempe tersebut sebanyak RM15.00 untuk diberikan kepada keluargaku yang lain. Wanita tersebut memaklumkan kepadaku tempe ini hanya boleh dimakan dua hari lagi.

Setelah selesai suamiku diurut oleh wak berkenaan, kami singgah ke pantai Morib. Cuaca di sana amat panas dan terik pula. Anakku sibuk hendak bermain layang-layang. Memandangkan cuaca yang amat panas dan angin kurang, layang-layang agak sukar untuk dinaikkan ke atas. Irfan menjadi bosan, lalu dia mengambil keputusan mencari siput dan duduk di sebelahku yang duduk di tepi pantai yang agak redup. Apabila jam menunjukkan hampir ke pukul 6.00 petang kami pun berangkat pulang. Ketika sampai ke Dengkil, ramai penjaja di tepi jalan menjual buah-buahan termasuklah buang naga. Teringin rasa dihati untuk membelinya, kerana memikirkan kesegarannya yang mungkin baru diambil dari pokok. Aku menyuruh suamiku memberhentikan kereta untuk aku membeli buah naga itu. Aku pun mengambil dua biji buah naga yang agak besar dan penjual itu memaklumkan kepadaku harganya RM13.00 (mungkin lebih, lupa pulak). Dalam hatiku berkata "aduh mahalnya". Tetapi aku membeli juga kerana teringin untuk memakan buah naga yang kelihatan besar dan segar.

Buah Naga

Sampai sahaja di rumah, Irfan terus meminta aku membelah buah naga itu. Tanpa berlengah lagi aku pun terus mengambil pisau dan membelah buah tersebut. Wow merahnya isi buah naga itu.



Apatah lagi anakku Irfan terus memakannya dengan penuh perasaan. Idzham makan juga tetapi tidak seperti adiknya yang memang meminati buah naga. Sekali makan habis sebiji buah naga itu. Aku memujuk Irfan supaya sebiji lagi disimpan untuk dimakan pada hari esok pula. Beliau mengangguk tanda setuju dengan cadanganku.

Keesokan harinya aku pergi kerja seperti biasa dan juga anak-anakku juga pergi bersekolah pagi (sekolah agama) dan petang (sekolah kebangsaan). Apabila aku pulang ibuku memberitahu kepadaku buah naga yang tinggal sebiji dimakan oleh anakku Irfan seorang. Nasib baik aku telah merasa sedikit pada malam tadi, kalau tidak hai...kempunan. Tapi tidaklah sehingga seperti cerita seorang ibu yang kempunan telur tembakul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan