ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Rabu, 9 Disember 2009

Semasa Kelahiranmu

Semasa ibu terima berita dari doktor yang mengesahkan ibu mengandung lagi kali kedua, ibu terima dengan hati yang gembira dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Gembira kerana akan menimang cahaya mata yang kedua. Keduanya abangmu Idzham akan mempunyai adik dan bolehlah berkongsi apa saja untuk menceriakan hidup kita sekeluarga.
Tetapi ibu agak cuak, kerana semasa abangmu dilahirkan, ibu terpaksa dibedah kerana ia tidak boleh melalui cara biasa. Tapi bagi ibu, itu semua adalah qada dan kadar. Jika sudah tiba ajal ibu, itu adalah kententuan tuhan. Sepatutnya ibu boleh melahirkan anak lagi selepas usia abangmu tiga tahun. Itu adalan saranan dari doktor demi kesihatan ibu.
Semasa ibu mengandungkan abangmu Idzham, selera ibu tidaklah tinggi sangat dan tidaklah sering muntah-muntah 'morning sickness' seperti kawan-kawan ibu yang lain. Tapi ibu hanya terasa mual apabila selepas makan. Jadi ibu selalu beli asam boi atau epal hijau untuk menghilangkan mual di mulut ibu. Tapi semasa ibu mengandungkan Irfan selera ibu lain macam pula. Asik nak mengunyah saja. Jika di pasar malam, tidak pernah miss untuk ibu beli nasi lemak kukus bersambalkan sotong kering. Sebab itulah semasa kandungan ibu baru mencecah 5 hingga 6 bulan, perut ibu besarnya seolah-olah sudah 8 bulan. Buah-buahan merupakan kegemaran ibu kecuali buah durian, kerana buah durian terlalu panas dan sukar untuk ibu tidur malam. Setiap malam tidur ibu juga tidak berapa selesa dan nyenyak, kerana keadaan perut yang semakin membesar.
Apabila kandungan ibu discan oleh pihak HUKUM, ibu melihat di dalam screen mesin secan, anak ibu seorang bayi lelaki yang amat akitf. Kakimu asyik menendang-nendang seolah-olah sedang menendang bola. Patutlah sakit perut ibu dibuatnya, kadang kala terasa bentuk lutut atau siku di atas permukaan perut ibu, dan ibu kadang kala memegangnya dengan lembut tetapi mungkin bila terasa dipegang terus hilang dari permukaan perut ibu.
Semasa pemeriksaan setiap bulan, ibu memohon kepada doktor yang memeriksa ibu agar ibu dibedah apabila sampai saatnya. Ini adalah kerana ibu tidak mahu peristiwa lama berulang kembali semasa melahirkan abangmu. Pada ketika itu ibu terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat kerana selepas pecah ketuban jam 7.30 malam hingga 7.30 pagi hari berikutnya abangmu masih lagi tidak dapat dilahirkan. Semasa jam 3 -4 pagi seorang jururawat telah menggerakkan ibu dan memberitahu ibu supaya jangan mengerang begitu kerana kuatir mengganggu pesakit lain. Ini adalah mungkin kerana terlampau sakit sehingga ibu tidak sedar apa yang telah ibu lakukan.
Doktor memberi anggaran tempoh kelahiranmu iaitu ibu akan melahirkanmu pada tarikh 2 Februari 2003. Pada 30 Januari 2003, ibu terasa sakit pinggang yang agak kuat seolah-olah masanya sudah hampir tiba. Tapi apabila sudah berada di wad, sakit semakin hilang apabila melihat pelbagai karenah wanita yang akan melahirkan anak mereka di dalam wad tersebut. Pagi 31 Januari 2003, kesakitan datang kembali dan kali ini semakin kuat dan darah telah kelihatan. Kebetulan pula, ketika itu beberapa orang doktor sedang buat pemeriksaan di wad berkenaan (7 orang doktor kesemuanya) dan sekali-sekala mereka memandang ke arah ibu, mungkin mereka sedang berbicang tentang permintaan ibu agar dibedah. Akhirnya salah seorang daripada mereka memaklumkan kepada ibu dan mereka bersetuju agar ibu dibedah dengan alasan yang ibu berikan iaitu salah satunya ialah faktor usia, dan ibu tidak mahu mengandung lagi.
Kesakitan ibu semakin memuncak, tetapi jururawat mengesahkan ibu terpaksa menahan sekejap kerana doktor pergi sembahyang kebetulan hari itu hari Jummat. Ibu pun berdoa agar dapat bertahan sehingga doktor selesai sembahyang. Jam 3.00 petang jururawat telah menghantar ibu ke bilik bedah. Perasaan takut bercampur bimbang bermain di fikiran ibu. Terbayang wajah suamiku Ridzwan, anak sulungku Muhammad Idzham, ibuku dan keluarga yang lain. Berlegar-legar di fikiran ibu, jika ibu pergi dahulu mengadap Ilahi bagaimana dengan anak ibu? Siapa yang akan memeliharanya? Semuanya itu bermain di minda ibu. Sedih pula rasanya seolah-olah ibu sedang berperang dengan maut. Ibu mengucap dua kalimah syahadah dan beristigfar sebanyak-banyaknya memohon kepada Allah agar diberi puluang untuk hidup lagi agar dapat menjaga anak-anak ibu dan dapat melihat anak-anak ibu membesar.
Jam 3.00 petang, jururawat mengangkat ibu ke katil beroda untuk dibawa ke bilik bedah. Sampai di bilik bedah kelihatan sepasukan petugas yang akan melakukan pembedahan tersebut. Doktor yang akan membedah ibu seorang perempuan dan juga seorang doktor lelaki. Doktor lelaki tersebut berkata beliau akan menyuntik bius di tulang belakang ibu dan menyuruh ibu duduk sambil membongkok.
Ibu pernah disuntik sebelum ini, dan rasanya tidaklah berapa sakit. Apabila jarum mula dicucukkan ditulang belakangku, mula-mula tidak berapa sakit tapi lama-kelamaan aduh! sakitnya...Kemudian ibu disuruh baring. Agak-agak dalam berapa minit ibu tidak merasa apa-apa lagi bila doktor memegang perut ibu. Bius itu berfungsi hanya separuh badan iaitu dari perut hingga kaki ibu tetapi mata ibu masih mampu dan masih boleh berkata-kata dengan doktor.
Di tengah-tengah perut ibu, ditegakkan kain penghadang agar ibu tidak melihat apa yang dilakukan oleh doktor berkenaan terhadap perut ibu. Ibu cuma merasa seolah-olah dilumurkan ubat air dan terasa seperti dilukis dan ditoreh di perut ibu, tapi tidak terasa sebarang kesakitan. Badan ibu terasa bergoyang ke kiri dan ke kanan, mungkin doktor sedang mengeluarkan irfan ibarat seperti mekanik sedang membaiki kereta.
Akhirnya terdengar suara bayi menangis dengan perlahan dan doktor lelaki itu menunjukkan seorang bayi lelaki yang agak besar dan sihat. Kulitnya kemerah-merahan seperti udang dibakar. Hidungnya agak kembang. Berat badannya hampir 3.61 kg. Patutlah saiz perut ibu besar semasa mengandungkan Irfan. Syukur ibu ke hadrat Allah s.w.t kerana semuanya selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan