ANAKKU IRFAN YANG PERIANG

Wajahmu yang tenang

Wajahmu yang tenang
Lenanya

Selasa, 15 Mei 2012

NASI AYAM

Memandangkan Irfan tidak berapa sihat, ibu mencadangkan Irfan tidak perlu pergi ke sekolah agama pagi itu, tetapi misti pergi ke sekolah kebangsaan kerana petang itu ada peperiksaan pertengahan tahun.


Ibu biarkan Irfan tidur sehingga jam 9.00 pagi.  Selepas itu Ibu mengerakkan Irfan bangun supaya mandi dan mengajak Irfan bersarapan di luar kerana Ibu hendak membeli ayam di Batu 9, Jalan Cheras di belakang Telekom.  Di situ ayamnya disembelih dan diproses di situ juga.  Ibu lebih yakin membeli ayam di situ dan apabila terus dimasak, rasanya lebih sedap.


Ayam yang ibu beli itu agak besar, dan Ibu menyuruh penjual itu memotong ayam kepada 4 bahagian.   Balik sahaja dari membeli ayam terus Ibu mencuci ayam tersebut dan ibu buatkan sup ayam.  Air sup tersebut ibu buat untuk membuat nasi ayam.


Ayam goreng
Set Nasi Ayam





Tetamu kecilku

Isnin, 14 Mei 2012

BUKU SKRAP DAN SEMPUT LAGI!


Pada pagi  Sabtu 12 Mei 2012 yang lalu, semasa  ibu membangunkan Irfan  dari tidur, terdengar bunyi batuk dari Irfan yang sangat melengking seolah-olah seperti bunyi batuk kering sahaja.  Terus ibu menyuruh Irfan bangun supaya minum air kosong untuk membasahi tekaknya.  Cepat-cepat  Irfan bangun dan terus mengambil air kosong untuk minum.  Mungkin Irfan sendiri pun berasa kering tekak dan terdengar bunyi batuknya yang agak pelik. Terus ibu menyuruh irfan mandi dan gosok gigi agar semua lendir yang berkumpul di dalam dada boleh dikeluarkan. 
Pada malamnya, Irfan memberitahu ibu yang Irfan disuruh membuat buku skrap bertajuk Pemakanan.  Irfan juga memaklumkan kepada ibu, siapa yang dapat menyiapkan buku skrap akan mendapat markah tambahan dalam peperiksaan setengah tahun nanti.  Lantas Ibu pun bertanya kepada Irfan bila buku itu dikehendaki oleh cikgu.  Irfan memberitahu ibu buku tersebut perlu dihantar pada hari Isnin nanti iaitu 14 Mei 2012.  Terus ibu naik angin, kenapa tidak buat kerana ada masa satu hari lagi iaitu hari Ahad.  Kemudian anakku Idzham juga memberitahuku dia juga mempunyai tugasan untuk membuat buku skrap yang bertajuk permainan Badminton.  Memandangkan ibu sendiri pun tidak tahu apa itu buku skrap, Idzham menunjukkan buku skrapnya yang belum siap lagi kepadaku. Idzham telan dilantik sebagai ketua untuk menyiapkan buku skrapnya itu.
Ibu memberitahu anak-anak ibu, komputer yang ada itulah gunanya untuk membuat buku skrap dan lain-lain, bukan games sahaja dan terus menyuruh Idzham membuat buku skrapnya dengan menggunakan perisian power point.  Memandangkan ibu pernah mengajar Idzham membuat power point, maka mudah sahajalah Idzham untuk membuatnya, termasukkah bagaimana untuk membuat layout, insert gambar dsbnya.  Selepas itu giliran Irfan pula untuk membuat buku skrapnya. 
Keesokan harinya aku pergi ke pejabat untuk mencari maklumat tentang pemain-pemain badminton dunia yang boleh ditambah lagi dalam buku skrap idzham dan juga gambar-gambar makanan yang berkhasiat serta tidak berkhasiat untuk dimasukkan ke dalam buku skrap Irfan.  Hampir 2 jam semuanya siap dicetak dan dijilid.
Pada malannya, sedang Ibu menggosk baju sekolah Irfan dan Idzham, ibu lihat Irfan masih lagi batuk dan agak kerap juga seperti orang sedang semput.  Ibu bertanya sama ada dada irfan sakit atau tidak dan Irfan menjawab sakit dan agak tidak selesa.   Ibu menyuruh Irfan bersiap-siap kerana ibu hendak membawa irfan ke klinik.  Semasa di klinik, doktor memeriksa Irfan dan mengatakan memang Irfan semput dan terus men gambil gas.  
Balik sahaja dari klinik ibu terus memberikan Irfan makan ubat yang telah diberikan oleh doktor.   Kemudian ibu mengambil minyak 1001 alam semesta yang mempunyai kandungan seperti serai wangi dan ibu mengurut-ngurut belakang, kaki, dada dan perut Irfan agar rasa selesa.  Selepas selesai mengurut, Irfan pun terus bersalaman dengan Ibu dan terus pergi ke bilik tidurnya.  Sebelum tidur sudah menjadi kelaziiman irfan dan idzham akan bersalam dan mencium tanganku.. 
Semasa Irfan tidur, ibu masih lagi mendengar bunyi batuk Irfan dan Ibu menyuruh Irfan bangun untuk membuang lendir.  Irfan pun terus bangun menuju ke bilik air.  Semasa Irfan batuk, ibu mengurut-ngurut belakang Irfan, apa lagi terus Irfan memuntahkan lendir dan segala makanan yang dimakannya malam tadi.  Memandangkan Irfan masih batuk-batuk,  Ibu menceritakan kepada ayah yang baru balik.  Ayah memberitahu Ibu supaya membetulkan kedudukan Irfan tidur dengan keadaan telangkup.  Ibu memberikan irfan lagi ubat kerana ubat yang tadi telah pun habis keluar semasa muntah.  Kerana pengambilan ubat tadi, ibu lihat Irfan terlentuk semasa duduk di sofa.  Ibu menyuruh Irfan bangun agar tidur di bilik tidur.   Setelah menunggu Irfan lena, barulah ibu masuk ke bilik tidur....Ya Allah, berikanlah anakku Irfan badan yang sihat....amin......


Selasa, 22 Februari 2011

SEMPUT

Sejak akhir-akhir ini Irfan selalu mengidap penyakit semput.  Badannya semakin susut.  Sebelum ini memang ia mempunyai penyakit semput tetapi tidak seburuk ini.  Aku perasan sejak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku lagi, maka terpaksalah  aku menghantar anak aku ke rumah ibu tiriku, rumah maduku dan kadangkala aku membawa mereka ke pejabat.  Anak aku suka bermain permainan di komputer, menyebabkan kawan-kawan di sekelilingku rasa terganggu..  Terpaksalah aku selalu menghantar mereka ke rumah ibu tiri mereka.  Aku hanya bertawakal kepada Allah atas keselamatan mereka.

Pada mulanya irfan batu-batuk kecil.  Lama kelamaan ia menjadi batuk yang berpanjangan hingga menyebabkan anakku sukar bernafas.  Terasa pelik juga di hatiku mengapa anakku batuk sedemikian rupa.  Aku membawa anakku ke Klinik Kita.  Doktor Salmi yang merawatnya menyuruhku membawa anakku mengambil gas sebanyak 3 kali sehari selama dua hari berturut-turut.   Kerana kejahilanku, aku hanya membawanya sehari sahaja kerana tidak mahu banyak gas yang masuk ke dalam tubuh anakku.  Lama kelamaan batuk anakku semakin teruk.  Yang menyedihkan aku dia tidak pandai untuk mengeluarkan lendir di dalam dadanya.  Aku selalu menjerit kepadanya keluarkan..keluarkan lendir tu..semasa ia sedang batuk.  Rupa-rupanya ia menjadi berang kepadaku dan mengatakan ia sakit dada dan pening kepala mendengar leteranku.   Aku terpaku dan terfikir sejenak apakah tindakan aku itu betul dengan menyuruhnya untuk mengeluarkan lendir di dadanya sedangkan ia tidak begitu pandai untuk melakukkannnya.

Bergaya dengan rambuk kacak

Sekali lagi aku membawa anakku ke Klinik Kita.  Semasa sedang menunggu aku mengharapkan agar doktor lain yang merawat anakku kerana aku malu kepada Dr. Salmi yang tidak mengikut nasihatnya agar membawa anakku ke klinik untuk mengambil gas untuk dua hari.  Tetapi nomborku yang terpapar di atas nombor giliran di bilik Dr. Salmi.  Semasa Dr. Salmi memeriksa dada Irfan, ia terus menyuruh jururawat menyediakan gas untuk anakku.  Aku menjelaskan kepada Dr. Salmi beliau tidak semput kerana dadanya tidak berbunyi, tetapi beliau memaklumkan batuk anakku itu adalah batuk semput.  Kesian anakku kerana kebodohan dan ketidakprihatinanku terhadap kesihatannya.   Tetapi batuk anakku masih juga tidak berkurangan.

Pada malam itu, Irfan mengadu badannya panas.  Aku memberikannya ubat demam yang sememangnya aku simpan jika berlaku kecemasan.  Pada tengah malam dada irfan berbunyi.  Bunyi di dadanya semakin kuat apabila ia batuk-batuk.  Aku sudah kehilangan akal dan upaya bagaimana untuk mengubati anakku.  Akhir sekali aku meminta suamiku membawa anakku ke Pusrawi Kajang, kerana Klinik Kita pun sudah pun tutup kerana ketika itu jam 12.30 malam.  Aku tidak dapat menemani Irfan dan suamiku, kerana Idzham anakku yang sulung sedang tidur.  Semasa suamiku membawa Irfan untuk mendapatkan rawatan, aku baring di sebelah anakku Idzham sambil memeluknya dan berdoa kepada Allah agar anakku Irfan cepat sembuh.  Air mataku mengalir deras bila memikirkan Irfan yang tidak sihat itu.  Sambil maenunggu suami dan anakku pulang, aku melipat kain baju yang sudah kering di penyidai.






Apabila anakku Irfan pulang ia nampak begitu ceria dan sibuk bercerita kepadaku yang aku sendiri tidak ingat apa yang diperkatakan kepadaku.  Aku menyuruh Irfan tidur denganku kerana suamiku akan tidur di rumah isterinya yang pertama.  Suamiku memberiku surat dari doktor untuk membawa anakku  ke Hospital Serdang, kerana sebelum ini aku pernah mencadangkan kepada suamiku agar membawa Irfan ke Hospital Serdang untuk mengetahui apakah penyakitnya yang sebenar kerana badannya yang semakin kurus, asyik deman dan sekarang pula batuk yang berpanjangan. 

Jam 6 pagi aku terjaga dari tidur dan aku masih lagi terdengar bunyi di dada anakku.  Badannya panas apabila aku meletakkan tanganku di lehernya. Selepas aku mandi dan sembahyang subuh aku terus dekati  anakku, dadanya masih berbunyi dan kali ini agak kuat sedikit.  Aku terus telefon suamiku agar dapat  membawa anakku ke Hospital Serdang.  Suamiku menyuruhku bersabar kerana ia hendak pergi ke pejabat dahulu.  Aku terus melenting dan berkata supaya ia menghantarku sahaja dan aku akan menguruskan sendiri anakku semasa di Hospital Serdang nanti.  Kadang kala aku berasa hairan kerana suamiku masih boleh memikirkan tentang kerja walaupun anaknya sedang sakit.  Akhirnya ia akur dan membawaku dan Irfan  ke Hospital Serdang. 



Selepas sembahyang maghrib


Sampai di sana, suamiku mengarahkan aku pergi ke doktor pakar kanak-kanak.  Rupa-rupanyanya aku hanya boleh membuat temujanji dahulu.  Aku memaklumkan kepada jururawat bertugas anakku sedang semput, ia cuma mengarahkan aku pergi ke tempat kecemasan. Untuk pergi ke sana mengambil masa 20 minit juga kerana tempatnya agak jauh.  Anakku masih lagi ceria walaupun nampak ia agak tercungap-cungap kerana terpaksa berjalan ke tempat tersebut.  Sampai sahaja di sana petugas tersebut mengarahkan aku masuk bersama anakku untuk mengambil gas. Suamiku tunggu di ruangan menunggu. 

Doktor yang bertugas disitu memeriksa dadanya dan berkata kepadaku adakah anakku mengambil gas setiap hari.  Aku memaklumkan anakku memang mengambil gas bekas warna coklat setiap pagi dan malam, cuma kadang-kadang aku terlepas kerana terlupa.  Selepas beliau memeriksa dada anakku, ia mengarahkan petugas memberikan anakku gas.  Beliau memaklumkan kepadaku, anakku perlu mengambil gas bekas coklat setiap hari seperti yang disarankan untuk mengelakkan penyakit semput berlaku dan ia memaklumkan terdapat 2 kes pesakit semput meninggal dunia dalam bulan ini. Sambil menyindir ia berkata anakku masih boleh gelak denganku walaupun dadanya berbunyi dan agak teruk juga. 

Selepas pengambilan gas, anakku diarahkan mengambil X-ray.  Setelah mendapat keputusan, doktor menerangkan kepadaku paru-paru anakku panjang sedikit kerana selalu bernafas tercungap-cungap.  Kecut juga di hatiku mendengar penerangannya.  Di dalam hati, aku berjanji akan memastikan Irfan akan mengambil gas tersebut setiap hari.  Akhir sekali, anakku diberi pil sebanyak 22 biji untuk dimakan mengikut sukatan yang diberikan.  Alhamdulillah sehingga hari ini aku menulis anakku sihat walafiat dan aku masih lagi memantau kesihatannya agar tidak lagi menjadi lebih teruk...Amin...

Isnin, 22 November 2010

AMBOI PAK ITAM SAYANG!

Ketika aku pulang dari pejabat bersama anakku Irfan (kebetulan cuti sekolah pada hari itu, aku bawa Irfan ke pejabat, abangnya pula di rumah maduku kerana suamiku bercuti untuk membuat kolam ikan di rumahnya).  Kebetulan ketika itu sedang berkumandang lagu Amboi Pak Itam Sayang di stesen Radio Klasik.   Sambil memandu aku menyanyi lagu tersebut kerana aku memang meminati lagu-lagu klasik.  Fikiranku teringatkan budak-budak muda di zaman itu yang  memakai baju petak-petak dan lengannya  pula dilipat hingga ke paras lengan.  Rambut mereka berminyak dan berketak-ketak dan disisir rapi ke belakang.  Aku bayangkan budak-budak muda di zaman itu  dalam filem P. Ramle iaitu pelakon S . Samsudin, Aziz Satar dan juga  S. Romai Noor.  Setiap petang aku sering membuka siaran klasik nasional ketika pulang dari pejabat lebih-lebih lagi untuk mengikuti rancangan Adila yang bermaksud Aku, dia dan Lagu.  Pernah aku menangis seorang diri ketika memandu pulang ke rumah tatkala mendengar suatu kisah di rancangan tersebut.  Cerita tersebut begitu menyentuh perasaanku. Ada juga tergerak di hatiku untuk menghantar ceritku ke rancangan tersebut, tetapi sampai sahaja di pejabat aku sibuk dalam menjalankan tugas-tugasku di pejabat.
Sedang aku asyik melayani lagu tersebut, tiba-tiba anakku Irfan terus menukar ke stesen lain sambil berkata, "Ibu, saya tidak sukalah lagu ini, sebab saya rasa macam nak muntah"  Aku berkata kepada anakku "Kenapa pula Irfan hendak muntah"  Ibu suka lagu ini, dan lagu ini sudah lama dan hampir berusia 50 tahun tau!

Geram pula aku dengan sikap Irfan yang menukar stesen tanpa meminta izin dariku.  Aku memandang ke arahnya.  Apabila ia tahu aku marah atas sikapnya iatu lantas ia pun bersuara "Lagu ini cerita pasal air liur meleleh lah ibu. Itu  yang saya rasa macam hendak muntah" Irfan memberitahu aku kenapa ia berbuat demikian. "Laa....pasal itu saja ke?"  Aku bersuara.  Selama aku mendengat lagu ini tidak pernah aku terfikirkan tentang itu. Rasa hendak tergelak pun ada, tapi aku tidak menunjukkan sebarang reaksi yang melucukan.

"Nanti jika ibu sudah tua, air liur ibu meleleh macam mana?  Siapa nak tolong jaga ibu"  Aku cuba mengujinya.  "Kalau ibu macam itu saya jagalah, sebab ibu itukan, ibu saya" Irfan menjawab bersahaja.  "Iyalah tu.....jangan hantar ibu ke rumah orang tua-tua sudahlah"  Aku menjawab.  Terasa sebak semasa aku menuturkan kata-kata itu terhadap anakku. Mendengar aku berkata demikian, Irfan terus memeluk lenganku dan berkata "Saya akan menjaga ibu, walaupun ibu sudah tua...". Di dalam hatiku berkata "Irfan, ibu sayang kepada Irfan, semoga Irfan jadi anak yang soleh.  Apabila  aku menoleh lagi Irfan sudah pun melelapkan mata sambil kepalanya terlentuk ke arahku kerana keletihan bermain games di komputer seharian di pejabatku. Irfan..Irfan...


Isnin, 25 Oktober 2010

TAUBAT NASUHA

Aku telah menonton sebuah drama yang paling menyayat hatiku yang bertajuk Taubat Nasuha pada malam 25 Oktober 2010. Drama tersebut dibintangi oleh Fauzi Nawawi dan Syila Rusly serta dibantu oleh Datuk Jalaluddin Hassan dan 3 orang kanak-kanak yang comel dan cerdik. Drama itu ditayangkan semula untuk pertandingan drama bagi Anugerah Skrin tahun 2010.
Cerita itu mengisahkan seorang lelaki juga seorang ayah yang mengalami sakit jiwa kerana kisah silamnya yang selalu dipukul oleh ayahnya semasa ia masih kecil. Akhirnya budak itu pun dewasa dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak yang begitu aktif, periang, lincah dan cerdik. Setiap kali anak-anaknya membuat bising beliau akan mengherdik anak-anaknya sambil mengatakan anaknya bersikap tidak seperti anak-anak lain. Tidak boleh terlihat olehnya sebarang kesalahan anaknya semuanya menjadi isu untuk ia memarahi anaknya. Walhal sememangnya anak-anak semua bersikap demikian.
Sikap isterinya yang taat, takut kepada suaminya dan sering menasihati anak-anaknya supaya jangan membuat nakal dan bising adalah untuk mengelakkan anak-anaknya supaya tidak dipukul atau diherdik oleh suaminya.
Suatu episod yang mengisahkan anak-anaknya berlari turun dari tangga menyambut kepulangan ayahnya kerana ingin memberitahu ayahnya yang mereka mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi sebaliknya mereka mendapat herdikan dan sumpah seranah atas alasan yang mereka membuat bising dan menyebabkan ia terkejut semasa anaknya mengdekatinya.

Semasa cuti sekolah, mereka pulang ke kampung berjumpa dengan datuknya, iaitu ayah kepada ibu mereka. Di sana mereka sangat gembira dan sering mendengar cerita tentang Rasulullah s.a.w. Terlopong ketiga-tiga adik beradik itu apabila mendengar cerita datuknya. Akhirnya cuti sekolah telah pun berakhir dan dengan perasaan berat hati mereka pulang semua ke rumah mereka.

Di suatu pagi, anak-anaknya bergaduh semasa mengambil sarapan untuk pergi ke sekolah. Apabila dilihat oleh ayahnya sikap anak-anaknya itu, perasaan marahnya timbul lalu menarik rambut kedua-dua anaknya dan menolaknya ke bawah meja. Semasa di bawah meja si abang memberi isyarat kepada adiknya supaya diam dan jangan menangis agar tidak dipukul lagi oleh ayahnya. Ibu mereka cepat-cepat menyuruh mereka mengambil beg sekolah dan mereka pun bersalaman dengan ayah mereka walaupun air mata masih lagi mengalir keluar. Apabila waktu tengahari, ibu mereka pun keluar untuk mengambil anaknya dari sekolah. Sebelum mengambil anaknya di sekolah, ia singgah sejejap pergi ke bank untuk mengeluarkan wang untuk perbelanjaannya. Rupanya ada dua orang hamblau telah mengikuti mereka pulang ke rumah. Belum sempat mereka masuk ke rumah, kesemua mereka diheret keluar dari kereta dan ditarik masuk ke dalam rumah. Di sini berlaku kisah yang amat tragis di mana kesemua anak-anaknya dibunuh dan akhir sekali ibunya pun dibunuh kerana tidak dapat menghubungi suaminya yang sedang leka bersukaria dengan rakan pejabat.

Aku hubungkan dengan sikapnya yang begitu cepat naik angin terhadap anak-anakku semenjak ibuku tidak lagi tinggal bersamaku. Segala keperluan mereka ku lakukan seorang diri. Setiap pagi aku sediakan sarapan, apabila pergi ke sekolah agama, kami terpaksa bawa beg sekolah agama dan kebangsaan kerana anakku transit di sekolah agama. Apabila petang pula ada sahaja barang mereka yang hilang samada baju sekolah agama, bekal air, songkok. Sebelum aku beredar pulang, aku terpaksa periksa dahulu di tempat transit mereka, semua barangan mereka cukup baru aku boleh beredar pulang ke rumah. Jika petang itu ada barang mereka yang hilang, panas baran aku mula timbul. Sebelah malam pula terpaksa memasak, mengemas rumah, membasuh kain, menggosok baju sekolah untuk hari berikutnya. Akhirnya aku menjadi stress dan cepat naik angin. kadang kala aku memukul mereka dengan penyakut baju apabila mereka tidak mengendahkan suruhanku. Aku menjadi pemarah dan sering menengking mereka jika mereka tidak mengikut arahanku.

Apabila aku menonton drama itu, aku betul-betul tersentuh hati. Aku menangis sehingga bengkak mataku. Aku peluk anak-anakku yang juga turut bersedih melihat drama itu. Aku tidak mahu kehilangan anak-anakku dan memikir kembali apa akan berlaku jika anakku diambil semula oleh yang amat berkuasa. Malam itu sebelum anak-anakku tidur, aku peluk mereka dan air mataku tertumpah lagi mengenangkan drama yang menyayat hatiku. Aku mohon agar semua iatu tidak berlaku kepadaku. Ya Allah berikan aku kekuatan semasa aku mendidik dan membesarkan anak-anakku...Ya Allah ya Tuhanku selamatkan anak-anakku semasa mereka bersekolah ketika aku sedang bekerja mencari rezeki dalam meneruskan hidup ini.....Jauhkan kami dari bala bencana dunia dan akhirat. Aku amat memohon pertolonganmu Ya Allah...Amin Ya Robbal 'alamin..

Ahad, 27 Jun 2010

BUAH NAGA MERAH MENYALA.

Pada 5 Jun 2010 suamiku mengajak aku ke bandar Sijangkang, daerah di negeri Selangor untuk diurut oleh seorang tukang urut di sana. Suamiku memanggilnya wak kerana ia orang Jawa. Sendi di pehanya masih sakit lagi walaupun telah diurut oleh beberapa tukang urut yang lain. Puncanya adalah bermula apabila beliau telah mengangkat mayat seorang wanita yang telah meninggal dunia di tepi jalan besar berhadapan dengan Jusco Cheras Selatan di Balakong. Walaupun mayat itu diangkat oleh 4 orang lelaki, tetapi untuk memasukkan mayat tersebut ke dalam kereta kancil agak sukar kerana pintu kereta tersebut kecil, lebih-lebih lagi bila yang mengangkat mayat di sebelah hadapan hanya tinggal seorang sahaja iaitu suamiku. Dengan sepenuh tenaga sebelah kakinya menahan berat mayat tersebut agar tidak jatuh, tiba-tiba beliau terasa ada bunyi di sendi pahanya.

Sejak dari itu, beliau asyik mengadu sakit lebih-lebih lagi apabila beliau hendak bangun atau apabila sedang berjalan laju. Aku pula mungkin menganggapnya sakit biasa kerana beliau tidak bercerita kesakitan itu berpunca kerana mengangkat mayat itu. Setelah beberapa kali mengeluh sakitnya masih lagi tidak pulih akhirnya aku bertanya sejak bila, buat kerja apa sampai sakit begitu dan sebagainya. Akhirnya barulah aku tahu punca berlakunya kesakitan di pehanya. Aku cuba juga mengurut di tempat yang sakit itu, kerana suamiku mengatakan aku pernah mengurut jarinya yang terkehel boleh sembuh. Tapi kudratku tidak sekuat mana untuk mengurutnya dan setelah aku mencubanya beberapa kali namun kesakitanya masih lagi tidak dapat dihilangkan.
Semasa kami sampai di sana, terdapat seorang lelaki yang sedang diurut oleh wak tersebut. Sementara menunggu giliran, aku dimaklumkan oleh suamiku di sebelah rumah wak membuat tempe. Aku lihat ada dua orang wanita sedang membungkus tempe tersebut. Lantas aku pun menuju ke rumah sebelah dan memberi salam kepada mereka. Membusut tinggi kacang soya yang telah diproses untuk dijadikan tempe, hanya tinggal untuk kerja membungkus pula. Aku pun membeli tempe tersebut sebanyak RM15.00 untuk diberikan kepada keluargaku yang lain. Wanita tersebut memaklumkan kepadaku tempe ini hanya boleh dimakan dua hari lagi.

Setelah selesai suamiku diurut oleh wak berkenaan, kami singgah ke pantai Morib. Cuaca di sana amat panas dan terik pula. Anakku sibuk hendak bermain layang-layang. Memandangkan cuaca yang amat panas dan angin kurang, layang-layang agak sukar untuk dinaikkan ke atas. Irfan menjadi bosan, lalu dia mengambil keputusan mencari siput dan duduk di sebelahku yang duduk di tepi pantai yang agak redup. Apabila jam menunjukkan hampir ke pukul 6.00 petang kami pun berangkat pulang. Ketika sampai ke Dengkil, ramai penjaja di tepi jalan menjual buah-buahan termasuklah buang naga. Teringin rasa dihati untuk membelinya, kerana memikirkan kesegarannya yang mungkin baru diambil dari pokok. Aku menyuruh suamiku memberhentikan kereta untuk aku membeli buah naga itu. Aku pun mengambil dua biji buah naga yang agak besar dan penjual itu memaklumkan kepadaku harganya RM13.00 (mungkin lebih, lupa pulak). Dalam hatiku berkata "aduh mahalnya". Tetapi aku membeli juga kerana teringin untuk memakan buah naga yang kelihatan besar dan segar.

Buah Naga

Sampai sahaja di rumah, Irfan terus meminta aku membelah buah naga itu. Tanpa berlengah lagi aku pun terus mengambil pisau dan membelah buah tersebut. Wow merahnya isi buah naga itu.



Apatah lagi anakku Irfan terus memakannya dengan penuh perasaan. Idzham makan juga tetapi tidak seperti adiknya yang memang meminati buah naga. Sekali makan habis sebiji buah naga itu. Aku memujuk Irfan supaya sebiji lagi disimpan untuk dimakan pada hari esok pula. Beliau mengangguk tanda setuju dengan cadanganku.

Keesokan harinya aku pergi kerja seperti biasa dan juga anak-anakku juga pergi bersekolah pagi (sekolah agama) dan petang (sekolah kebangsaan). Apabila aku pulang ibuku memberitahu kepadaku buah naga yang tinggal sebiji dimakan oleh anakku Irfan seorang. Nasib baik aku telah merasa sedikit pada malam tadi, kalau tidak hai...kempunan. Tapi tidaklah sehingga seperti cerita seorang ibu yang kempunan telur tembakul.